SATIRA | Terpempan juga jutaan rakyat Malaysia melihat kepetahan Datuk Seri Najib membentangkan ucapan beliau yang jelas terasa manisnya di TV pada malam bertuah ini.
Selepas lebih 60 tahun merdeka, barangkali inilah malam paling bermakna dan bertuah buat kita yang bergelar rakyat Malaysia. Rasa dimanja dan dibelai benar-benar untuk pertama kali.
Rasa bertuah itu kira-kira seperti seseorang bertemu dengan lailatulqadar. Cuma Ramadan belum tiba, apatah lagi 10 malam terakhir pada bulan mulia itu.
Tapi dari Pekan tadi terpancar kegembiraan besar untuk kita.
Ada janji pengecualian cukai buat anak muda berusia 26 tahun ke bawah, tiada kutipan tol di lebuh raya selama lima hari, dan ada banyak kata-kata manis yang berhamburan dari Pekan.
Adakan semua itu boleh dipercayai? Tentulah. Lagi pun kita tidak melihat ada sesiapa yang panjang hidungnya seperti Pinocchio, kan?
Bezakan dengan apa yang dijanjikan Pakatan Harapan (HARAPAN). Pada malam terakhir sebelum mengundi pengerusinya sekadar bercakap tentang maruah, tentang peluang dan menebus kesilapan silam.
Jika boleh disimpulkan tema ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakyat Malaysia malam ini ialah menyelamatkan negara dan membawa tanah tercinta ini jauh dari malapetaka.
Apakah yang lebih menggiurkan daripada tawaran kebendaan, kan?
Apa sangatlah janji-janji mengenai maruah dan masa depan apabila harga diri manusia sekarang sebenarnya sangat murah.
Bukan duit kita pun
Pada masa tertentu ia mungkin bernilai RM3 bilion, tetapi pada ketika tertentu ia mungkin serendah RM2 juta saja. Malah ada yang lebih murah daripada itu.
Jangkaan awal badan kaji selidik pun menjangkakan BN akan kekal memerintah untuk lima tahun lagi.
Di atas kertas, memang begitulah, walaupun ada tawaran untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyesakkan dada itu.
Apa sangatlah memadamkan mimpi buruk GST berbanding menelusuri lebuh-lebuh raya tanpa tol selama lima hari, kan?
Tambahan pula syarikat-syarikat konsesi yang menguruskan lebuh raya di negara ini beroperasi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mereka tidak mencari keuntungan, sebaliknya tidak putus-putus untuk melakukan kebajikan serta amal. Bezanya mereka dengan pertubuhan lain ialah, syarikat itu tidak menubuhkan unit amal seperti sebuah parti itu.
Justeru apabila tiada kutipan tol selama lima hari, syarikat konsesi itu mungkin akan menggiatkan lagi kerja-kerja kebajikan yang lain.
Mana tahu, lepas ini kadar tol akan dinaikkan lebih besar, atau sekurang-kurangnya perjanjian konsesi dilanjutkan. Lebih lama, lebih bagus.
Putrajaya tentu akan bermurah hati menampung kekurangan perolehan syarikat terbabit. Dan wang dalam perbendaharaan itu bukanlah wang kita pun.
Begitu juga dengan janji mengecualikan cukai pendapatan bagi anak-anak muda yang berusia 26 tahun ke bawah. Dalam kelaziman sekarang, mereka - terutama yang baru lepas menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) - semua hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sudah habis dibayar.
Biasanya paling lewat lepasan IPT melunaskan hutang PTPTN ialah ketika mereka berusia 20 tahun. Apabila menjelang 25 tahun lepasan IPT akan menerima gaji sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan.
Kos hidup pula sangat rendah sekarang. Segala-galanya boleh diperolehi dengan harga yang sangat minimum. Harga minyak pun sudah enam minggu tidak berubah walaupun khabarnya di pasaran dunia komoditi itu mencatat harga tertinggi.
Semasa Dr Mahathir berucap tadi, nampak benar riak kebimbangan pada wajah beliau berbanding Najib yang sangat yakin, tegas dan berterus terang.
Apa lagi yang boleh diperkatakan sekarang jika semuanya tentang wang kerana semua orang sedang kaya-raya sekarang. Buktinya, malam ini wang berguguran dari langit.
Mungkin ia turun bersama 'malaikat' yang akan mengundi pagi nanti. Lalu kita wajib mensyukuri nikmat itu.
Cash is king? No-lah. Cash is everything.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.