Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ini peluang Melayu menebus maruah, kata Mahathir
Diterbitkan:  May 8, 2018 10:49 PM
Dikemaskini: 4:42 PM

PRU14 | Dalam amanat terakhirnya menjelang PRU ke-14 esok, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pilihan raya kali ini melangkaui memilih parti politik, terutama bagi orang Melayu.

Baginya, ia peluang untuk orang Melayu menebus kembali maruah bangsa yang didakwanya telah dijatuhkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

"Bagi orang Melayu, PRU ini bukan semata-mata untuk mencari kemenangan bagi parti politik tetapi juga untuk menebus maruah bangsa.

"Ibu bapa kita dahulu berjuang untuk membebaskan kita dari belenggu penjajahan, sekali gus maruah kita tertebus dan kita menjadi bangsa yang berdaulat yang menentukan nasib kita sendiri," katanya pada program di Langkawi dan disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau mendakwa pentadbiran Najib telah membawa malapetaka sehingga menyebabkan negara gagal mencapai status negara maju pada 2020.

"Daripada perjuangan untuk bangsa, negara dan agama, Najib membawa kepercayaan segala-galanya boleh dibeli dengan wang.

"Kita hanya boleh pulihkan maruah kita dengan menukar kerajaan, diganti oleh parti yang terhad kuasanya sehingga tidak mungkin kuasa disalahguna seperti sekarang," katanya lagi.

Calon perdana menteri HARAPAN itu dalam ucapannya juga memberitahu sebab beliau kembali aktif ke persada politik tanah air dalam umurnya yang sudah lanjut.

"Saya sedar saya sudah tua. Tidak ada banyak masa lagi untuk saya. Ramailah yang berpendapat saya patut rehat sahaja.

"Ya. Saya ingin rehat. Tetapi ramai rombongan yang datang berjumpa saya, meminta saya buat sesuatu untuk menghentikan kerosakan yang sedang berlaku dalam negara.

"Tak tergamak saya menghampakan desakan mereka. Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sumbang sedikit dalam perjuangan untuk negara tercinta in," kata beliau lagi.

Sepanjang tempoh kempen PRU ini, HARAPAN memberi tumpuan untuk mendapat sokongan pengundi Melayu yang amat penting bagi gabungan itu menewaskan BN.

Selain siaran langsung di Facebook, ucapan itu turut ditayangkan di program-program HARAPAN seluruh negara.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS