Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ilham Centre: HARAPAN mendahului di semenanjung
Diterbitkan:  May 8, 2018 1:53 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Kajian Ilham Centre yang berakhir 6 Mei lalu merumuskan gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mendahului di 77 kerusi daripada 165 kerusi parlimen di Semennjung.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kerusi-kerusi HARAPAN itu adalah daripada kerusi Parlimen bandar dan pinggir bandar yang mempunyai komposisi campuran dan majoriti Cina.

BN pula, katanya, masih mengekalkan penguasaan di 56 kerusi Parlimen yang terdiri daripada kawasan majoriti Melayu dan luar bandar.

Manakala kuasa ketiga Gagasan Sejahtera yang didominasi oleh PAS hanya selesa di tujuh kerusi Parlimen berpengkalan di Kelantan dan Terengganu.

“25 kerusi Parlimen pula memperlihatkan pertembungan sengit antara parti-parti yang bertanding.

“Sekiranya berlaku sedikit lonjakan pada saat akhir, HARAPAN dijangka mampu melepasi angka 100 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk ke Putrajaya,” kata Hisommudin.

Beliau berkata, pertembungan tiga penjuru sebenarnya tidak menguntungkan BN secara mutlak.

“Kawasan-kawasan parlimen yang mempunyai 75 peratus komposisi Melayu dan ke bawah ternyata memberikan kesan negatif kepada BN ekoran perpecahan undi Melayu kepada tiga.

“Ini kerana pertimbangan tiga penjuru ini pada awalnya tidak melihat faktor BERSATU dan Dr Mahathir sebagai faktor utama.” katanya.

Menurut Ilham Centre, senario bertukar secara drastik apabila BERSATU ditubuhkan dan Dr Mahathir dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan.

“Strategi ini telah memecahkan teori tiga penjuru menguntungkan BN. Kekuatan figura Mahathir dan BERSATU berfungsi menarik sokongan Melayu-Umno ke dalam kantung undi Pakatan Harapan.

“Peranan PAS yang menjadikan pilihan raya kali ini tiga penjuru sebenarnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan secara tidak langsung di kerusi-kerusi Pantai Barat.

“Ironinya di pantai timur pertembungan ini menguntungkan PAS di sebahagian kerusi parlimen,” katanya.

Mengenai persempadanan semula, Ilham Centre berkata, perubahan garis sempadanan pilihan raya pada asasnya adalah untuk memberikan kelebihan kepada BN, namun percaturan melonggokkan pengundi Cina dalam satu kawasan pilihan raya dan meningkatkan kawasan majoriti Melayu melalui proses ‘gerrymandering’ dan ‘malaportionment’ itu tidak menjadi.

“Strategi ini asalnya tidak mengambil kira perpecahan parti Melayu terbesar, Umno dan melahirkan BERSATU serta faktor Mahathir mengetuai Pakatan Harapan.

“Apabila undi Melayu yang menyokong Umno terpecah dengan faktor ini ia tidak lagi memberi nilai tambah yang besar kepada BN,” kata Hisommudin.

Kajian itu juga mendapati bahawa BN dan PAS ternyata unggul dari aspek memperlengkapkan kempen konvensional seperti perang bendera, banner, poster, pondok panas di pusat daerah mengundi dan hiasan bilik gerakan berbanding HARAPAN.

Pakatan Harapan dikatakan gagal sepenuhnya untuk memperlihatkan saingan dari aspek ini kerana kekurangan jentera di peringkat akar umbi.

“Dalam situasi yang lebih buruk lagi jentera Pakatan Harapan di seluruh negara tidak digerakkan secara bersepadu kalangan parti-parti komponen mereka dalam menggerakkan kempen tradisi ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS