Paling Popular
Terkini

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam dan Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong menang tipis kerusi parlimen masing-masing di utara Johor. Mereka terselamat kerana sebahagian besar pengundi di penempatan Felda adalah penyokong kuat BN.

Chua memenangi Labis dengan majoriti tipis 353 undi manakala Subramaniam pula mengekalkan Segamat dengan majoriti 1,217 undi.

Bagi Chua, beliau terselamat apabila tiga penempatan Felda di Labis, memberikannya 3,636 undi berbanding pembangkang di kerusi tersebut.

Sebagai contoh, Felda Chempelak, menyaksikan 1,251 undi penempatan itu berpihak kepada Chua manakala hanya 166 undi yang diperolehi oleh pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Tinjauan Malaysiakini ke penempatan itu baru-baru ini mendapati bahawa ia kekal sebagai kubu kuat BN, tetapi keretakan mula kelihatan atas sebab-sebab tertentu, seperti peningkatan kos sara hidup dan isu-isu rasuah.

Peneroka Atan Abu Bakar yang berusia dalam lingkungan 60-an tanpa segan silu mengakui dia setia bersama BN tetapi mengakui hakikat bahawa sentimen pembangkang mula meresap ke kubu BN itu yang suatu ketika dahulu tidak dapat ditembusi, terutama di kalangan belia.

“Saya ada bagi tahu yang muda-muda ini, kalau bukan BN siapa yang nak jaga kita? Kita nak ke balik ke masa dulu makan tak tentu, jalan teruk,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Zulkifli Mat, 40, berkata golongan belia tamai yang terpengaruh dengan BERSATU selepas bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti serpihan Umno itu.

Bekas pemimpin Puteri Umno Normala Ahmad Nasiran, 43, kekal setia bersama BN tetapi mula merasakan tekanan.

“Kali ni kalau kita menang kita menang semua, tapi kalau kita kalah kita habis.

“Ada yang bagitahu saya 'cik ikut anak, anak kata Umno dh tak bagus pasal banyak masalah'. Ni yang anak dari luar bandar,” kata," kata Normala, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan.

Beliau juga berkata ada juga ahli Umno memihak kepada pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan puak-puak dalam parti.

Di kalangan mereka yang lebih berusia, rasa tidak puas hati semakin menyerlah walaupun terus mencintai BN.

Yaakob Md Noor, 64, berkata beliau akan mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ini atas beberapa sebab, termasuk kekurangan pembangunan ekonomi di Labis.

“Baik tetap baik, tak baik tetap tak baik, itu saja. Bukan pengaruh luar, bukan, kita sudah 60 tahun lebih, takkan tak boleh nak fikir, macam mana nak buat. Fikir-fikir kita perlu tukar tapi kita sayang (BN).

“Last sekali kita kata aku nak tukar . Aku dah ikut (BN), berbelas PRU, tak ada perubahan. Ingat Felda berjaya ke?

“Kalau dia (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) tak buang Muhyiddin, tak jadi macam ini.

“Dia (Muhyiddin) orang Johor jadi ada sentimen kenegerian, saya rasa dia lagi baik dari Najib,” katanya.

Turut menyapa adalah rakan Yaakob yang berusia 54 tahun tetapi tidak mahu namanya didedahkan. Beliau membidas usaha Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu dengan momokan terhadap DAP.

“Kita tak akan percaya, tapi orang tua percaya mungkin,” katanya.

Yaakob mendakwa bahawa ramai peneroka generasi kedua dalam kumpulan WhatsApp juga telah berhenti menyokong BN.

Kemarahan mereka bukan hanya disasarkan terhadap Chua, tetapi juga kepada Najib selaku presiden Umno dan isu-isu yang melanda dirinya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS