Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Selepas lebih dua dekad di tampuk kuasa dan 15 tahun selepas melepaskannya, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mensasarkan kerusi perdana menteri.

Bagaimanapun ada satu perbezaan besar. Selepas sekian lama bersama parti pemerintah, ahli politik berusia 93 tahun itu kini calon perdana menteri gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam wawancara bersama Malaysiakini Jumaat lalu, Mahathir mengakui ada kebimbangan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan membolehkan proses peralihan kuasa yang lancar jika HARAPAN menang.

"Inilah yang kami takutkan...Dia (Najib) akan cuba untuk mengelak daripada ditahan. Ada khabar angin, dan ini khabar angin, saya dengar...Umno akan cetuskan masalah.

"Mereka ada samseng yang akan cetuskan masalah dan akan ada (pengisytiharan) darurat atau (penggunaan Akta) Majlis Keselamatan Negara, Parlimen tidak akan dipanggil, dan kedaulatan undang-undang akan digantung," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Menurut pengerusi HARAPAN itu, Najib mampu mengambil tindakan drastik dengan menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN).

Beliau menyifatkan akta itu lebih teruk daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sering didakwa menjadi senjata utamanya untuk menekan penentang ketika pentadbirannya dulu.

"Bawah Akta MKN yang baru ini dia boleh menahan siapa saja tanpa bicara. Dan jika orang yang ditahan itu mati, tidak akan ada inkues.

"Ini adalah undang-undang terburuk. Jika dibandingkan dengan ISA, ia paling buruk. Tetapi dia mendapat pujian kerana menghapuskan ISA," katanya merujuk tindakan Najib yang memansuhkan akta drakonian itu pada 2012.

Beliau berkata Akta MKN - sama seperti Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang juga kontroversi - diluluskan Dewan Rakyat tanpa perbahasan panjang.

Akta MKN digubal antara lain untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

Ketika penggubalannya, kerajaan berkata ia bertujuan menguatkan kemampuan kerajaan untuk berdepan ancaman keselamatan yang semakin meningkat, termasuk ancaman keganasan.

'Tiada diktator tanpa tentera'

Ketika ditanya sama ada HARAPAN mempunyai rancangan jika Najib benar-benar enggan melepaskan kuasa persekutuan seperti yang didakwa, Mahathir mengimbas kembali bagaimana bekas Presiden Filipina mendiang Ferdinand Marcos meletakkan negara itu bawah undang-undang darurat ketika 1972.

Beliau berkata, Marcos disokong Timbalan Ketua Angkatan Tentera Fidel Ramos dan Setiausaha Pertahanan Juan Ponce Enrile.

Katanya lagi, Marcos mendapat sokongan sehinggalah diktator itu dikaitkan dengan pembunuhan seteru lamanya Benigno Aquino Jr.

"Jadi pada masa ini (di Malaysia), ketua polis - saya tidak fikir keseluruhan pasukan polis - dan juga ketua angkatan tentera masih menyokongnya (Najib).

"Tetapi apabila dia (Najib) melanggar undang-undang dengan menyalahgunakan Akta MKN yang digubalnya, saya fikir mereka tidak akan menyokongnya lagi," katanya.

"Ketika itu Najib akan jatuh. Dia hanya boleh mengekalkan kerajaan tentera atau kerajaan darurat jika disokong polis dan tentera.

"Tetapi saya fikir dan saya harap polis, dan pegawai-pegawai tertinggi negara, tidak akan menyokong usahanya untuk mewujudkan kerajaan diktator di negara ini."

Sebelum ini beliau telah menyatakan harapan agar anggota angkatan tentera akan mengundi secara bebas dan "tanpa kekangan mana-mana pihak" pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau menyampaikan hasrat itu melalui sepucuk surat bertarikh 30 April kepada panglima formasi Tentera Darat Malaysia, panglima formasi Tentera Laut Diraja Malaysia dan panglima formasi Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ia disambut dengan kenyataan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang menggesa anggotanya untuk mengundi dengan bijak dan tidak membazirkan "peluang keemasan" itu.

Ahmad Kamarulzaman kemudian menafikan kenyataan yang menarik perhatian ramai itu sebagai tanda sokongan kepada Mahathir dan HARAPAN.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut menjamin anggota polis mempunyai hak untuk mengundi parti pilihan mereka.

Baca wawancara Malaysiakini bersama Mahathir:

Dr M: HARAPAN akan menang mudah...

'Mereka nak tengok saya melutut, malukan saya'

Jika Najib lari, Interpol akan cari – Mahathir

1998-2018: Lengkapnya satu putaran Mahathir-Anwar

Dr M: Dulu makan sehari 3 kali, sekarang sekali saja


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS