Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nga mohon maaf kerana guna bahasa kasar
Diterbitkan:  May 6, 2018 10:26 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

PRU14 | Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming meminta maaf kerana menggunakan bahasa kasar dalam ceramahnya yang memperkatakan mengenai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad

Ini selepas video ceramahnya malam tadi yang mengatakan Mahathir "menangguhkan" untuk bermain mahjong di syurga dengan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew beredar di media sosial.

"Saya merupakan seorang penceramah yang popular di kalangan orang Cina atas kebolehan saya berucap dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Kantonis dan lain-lain.

"Saya akui bahasa yang saya gunakan dalam ceramah bahasa Mandarin kadangkala agak keras dan penuh sinis. Namun masyarakat Tiong Hua dapat menerima cara saya berceramah.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekerasan nada atau bahasa saya yang gunakan jika dianggap kasar. Saya akan cuba bernada lebih lembut dalam ceramah-ceramah akan datang," katanya.

Dalam ceramah semalam, Nga, yang juga calon DAP di Teluk Intan, berkata Mahathir menangguhkan kematiannya kerana mempunyai tugas penting untuk diselesaikan iaitu mengalahkan BN dan Datuk Seri Najib Razak.

Nga kemudian menyanyikan lagu "Selamat tinggal sayangku, selamat tinggal kekasihku," dengan menyatakan ia mungkin berlaku selepas Mahathir menyelesaikan tugasnya.

Apabila penonton ketawa, beliau berseloroh: "Wah, saya ucapkan selamat tinggal, kamu sangat gembira, tidak boleh seperti itu."

"Kamu semua perlu minta Mahathir supaya tidak pergi dulu, kita mahu minta Mahathir hidup lama," katanya dalam bahasa Kantonis.

Bagaimanapun, video itu dimuat naik di Facebook dengan keterangan yang tidak tepat dalam bahasa Melayu, termasuk menyatakan Nga berkata Mahathir "boleh mampus" selepas menyelesaikan tugasnya, walaupun ia merujuk kepada BN.

"Tetapi amat kesal sekali keadaan ini telah diputar belit oleh penyokong-penyokong BN.

"Klip-klip video ucapan saya telah diedit, dipotong dan dicantum untuk menunjukkan saya mengucapkan kata-kata yang jahat yang bertujuan menyakitkan hati orang Melayu. Ini tidak benar. Ini fitnah yang berbahaya.

Menurut Nga, ucapan beliau mempunyai konteks, iaitu berkaitan dengan isu yang dibangkitkan.

"Konteks dan latar belakang topik amat penting untuk memahami hujah atau ceramah.

"Jika ia diedit, dipotong dan dicantum semula, ia menjadi video palsu. Klip seperti inilah yang cuba menampakkan saya sebagai orang jahat. Saya harap orang ramai tidak mempercayai klip-klip seperti ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS