Bekas anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Anina Saadudin mencabar tiga bekas menteri yang kini menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengisytiharkan aset mereka.
Dalam sidang media yang disiar secara langsung di laman Facebooknya, beliau menamakan Tan Sri Rafizah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim sebagai 'kartel lama Mahathir' yang mengumpul kekayaan selama 22 tahun bekas perdana menteri itu berkuasa.
Menurutnya penglibatan 'kartel lama' Mahathir itu dalam kempen HARAPAN di Langkawi menimbulkan 'rasa sangsi' orang Langkawi.
"Kesemua mereka sepatutnya turut mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang dilakukan oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan.
"Ia adalah sangat ironik apabila kumpulan “kartel lama” yang telah mengumpul begitu banyak kekayaan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad melalui kronisme dan salah guna kuasa kini tiba-tiba tampil untuk kononnya “menyelamatkan Malaysia”.
"Adakah kumpulan “kartel lama” ini mahu menyelamatkan Malaysia? Ataupun mereka hanya mahu “menyelamatkan diri sendiri?" soal beliau.
Rafidah, Daim dan Rais sebelum secara terbuka menyatakan kritikan terhadap pentadbiran perdana menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa isu termasuk 1MDB.
Berikutan itu, Umno memecat Rafidah dan Daim manakala keahlian Rais "sedang disiasat."
Rais dijangka membuat penampilan di ceramah HARAPAN di Jempol, Negeri Sembilan, malam ini.
Jelaskan mengenai 488 syarikat
Anina, yang juga bekas anggota Umno Langkawi, juga meminta Mahathir menjelaskan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya memiliki 488 syarikat dengan kekayaan AS$44 bilion (kira-kira RM170 bilion).
"Beliau perlu menjelaskan bagaimana anak-anaknya mendapat begitu banyak keistimewaan dalam memperolehi begitu banyak kontrak dan tender-tender daripada kementerian dan GLC ketika beliau menjadi perdana menteri.
"Adakah benar dakwaan TMJ (Tunku Mahkota Johor) bahawa tiga anaknya berstatus billionaire?" soal beliau.
Bank Daim di tiga benua?
Anina turut meminta Daim menjelaskan bagaimana beliau memiliki dana yang begitu besar untuk membeli kumpulan bank ICB Financial Group pada 1994 yang memiliki bank di 13 buah negara di tiga benua.
Secara kebetulan katanya, pembelian itu berlaku ketika bank Negara Malaysia (BNM) kehilangan RM30 billion 'secara misteri'.
"Adakah kehilangan RM30 billion rezab BNM ada kaitan dengan kekayaan sepantas kilat Tun Daim kerana Tun Daim juga adalah Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas transaksi-transaksi misteri yang menyebabkan BNM kehilangan dana yang begitu besar, sebelum beliau meletakkan jawatan pada 2014.
Anina, yang kini mengetuai NGO Empirical Malaysia, meninggalkan BERSATU pada September lalu setelah mendakwa parti itu dipimpin oleh mereka yang tidak dapat menerima kritikan.