Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak-anak Memali tak maafkan Mahathir
Diterbitkan:  May 5, 2018 8:51 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Permohonan maaf oleh Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penggunaan perkataan 'mati katak' terhadap mangsa Memali ditolak mentah-mentah oleh anak-anak mangsa tragedi itu hari ini.

Kenyataan bersama itu dibuat menerusi FB Live milik salah seorang anak mangsa yang terkorban, Mohamad Zuhdi Mat Piah yang dihadiri dua anak allahyarham Ibrahim Libya, iaitu Muhd Islah Ibrahim dan Nurul Syuhada Ibrahim.

Muhd Islah, anak sulung Ibrahim berkata, permohonan maaf Mahathir tidak jujur dan gagal memenuhi syarat taubat iaitu berasa insaf, berazam tinggalkan maksiat dan tidak meneruskan maksiat.

"Kalau benar Tun mahu meminta maaf, dia akan pergi mengunjungi rumah-rumah (mangsa Memali) di sana.

"Tetapi, Tun belum pernah sampai walaupun Sultan Kedah sudah menziarahi makam perkuburan syuhada," kata Muhd Islah.

Dalam satu ucapan di sesi ceramah perdana Khamis lalu, Mahathir mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi Memali sebagai 'mati katak' dan bukannya mati syahid.

Peristiwa pada 19 November 1985 itu menyaksikan pertempuran penduduk kampung di Baling yang dipimpin ustaz PAS, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dengan pasukan keselamatan.


Panduan berita: Menyelak kembali tragedi berdarah Memali


Kejadian itu mengakibatkan 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim dan empat anggota keselamatan terkorban.

Sedar kesilapannya, Mahathir membuat permohonan maaf dan mengakui kadang-kadang tersilap memilih perkataan sehingga menyebabkan kemarahan orang tertentu.


Baca: Mahathir minta maaf pada ahli keluarga mangsa Memali


PAS melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima permohonan maaf berkenaan, namun menegaskan mereka yang terkorban tetap tergolong dalam kumpulan syuhada.

Mahkamah paling agung

Kesal dengan ucapan Mahathir, Muhd Islah menyerahkan tragedi berdarah itu untuk dihakimi di akhirat kelak.

"Boleh dikatakan setiap tahun akan dibangkitkan isu peristiwa Memali ini. Namun, (bagi) kita mahkamah paling agung adalah mahkamah Allah yang paling adil," kata beliau lagi.

Bagi anak bongsu Ibrahim Libya, Nurul Syuhada' Ibrahim, pihaknya sukar menerima permohonan maaf Mahathir kerana tidak dapat melihat keikhlasan bekas perdana menteri itu.

"Abah saya ditembak," katanya sebak.

"Saya mewakili anak-anak syuhada' mangsa Memali melihat permohonan maaf Tun itu tidak ikhlas, dan kami tidak memaafkan Tun. Kalau Tun betul-betul ikhlas, tentu dia akan jumpa ibu saya yang kini sedang sakit.

"Saya tanya mak, apa komen mak terhadap isu ini? Mak saya menangis sebab isu ini diangkat kembali," katanya yang masih berusia 11 bulan ketika tragedi berdarah itu berlaku.


Baca: PAS terima permohonan maaf Mahathir


Tambah Nurul Syuhada' permintaan maaf bekas perdana menteri itu tidak sepatutnya diucapkan dengan semudah itu.

"Tun nak minta maaf bukan cara macam ni. Walaupun waktu itu saya baru 11 bulan, tapi mak saya selalu bercerita. Saya tidak memaafkan beliau selagi mana dia tak berjumpa mak saya.

"Selagi dia tak berjumpa mangsa-mangsa Memali, maka selagi itulah kami tidak memaafkan beliau," katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Zuhdi yang menjadi perantara dalam rakaman berkenaan berkata Mahathir melakukan kesilapan berkali-kali sepanjang menjadi perdana menteri dan selepas meletakkan jawatannya.

"Tun M kata dia pernah tersilap memilih (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) pada 1998. Kemudian, Tun M kata dia tersilap memilih (Tun) Abdullah Ahmad Badawi selepas itu.

"Kemudian Tun M naikkan (Datuk Seri) Najib Razak, awalnya bagus, tapi kemudiannya dia kata bahawa dia tersilap memilih Najib Razak. Maknanya dia tersilap berkali-kali.

"Kemungkinan dia kata selepas ini, 'saya silap kerana tersilap memilih bersama DAP' ," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS