WAWANCARA | Melihat respons yang diterima selepas seminggu mengelilingi negara berkempen untuk PRU ke-14, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yakin gabungan itu akan berjaya mengalahkan BN dan merampas Putrajaya.
"Bacaan saya, kita akan menang mudah..." katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya 4 Mei lalu.
Namun berdepan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang antara lain membuang gambarnya pada papan iklan kempen HARAPAN, Mahathir menjadi gusar dengan taktik saat akhir BN sebelum tibanya hari membuang undi pada 9 Mei ini.
"HARAPAN akan menang tetapi kita tidak boleh melihat apa yang akan Najib lakukan," katanya merujuk Pengerusi BN dan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.
HARAPAN sebelum ini mendakwa BN dan SPR mengambil langkah untuk menyekat kempen mereka, termasuk mewujudkan peraturan baru antaranya larangan penggunaan gambar Mahathir (kecuali di kawasan yang ditandingi BERSATU) di papan iklan dan bahan kempen lain.
Ia termasuk keputusan SPR menetapkan Rabu sebagai hari mengundi, yang berisiko menyebabkan peratusan mengundi rendah.
Mahathir yang telah menempuhi lima PRU sepanjang 22 tahun mentadbir negara bagaimanapun berkata, keyakinan itu ekoran sokongan luar biasa oleh dilihatnya selama seminggu berkempen di seluruh negara.
Bekas perdana menteri itu menyifaktkan sokongan yang ditunjukkan sebagai "cukup hebat".
"Saya sudah lalui banyak pilihan raya. Saya berucap dan berkempen. Tetapi saya tidak pernah melihat sokongan seperti ini," katanya yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi di Kedah.
Beliau mendakwa ceramah besar HARAPAN di Temerloh menarik 20,000 hadirin, manakala di Kuantan hampir 40,000.
"saya sentiasa jadi penceramah terakhir, tetapi mereka tunggu...(Dari pentas) anda tidak nampak apa-apa kecuali kepala hadirin," katanya.
Beberapa pemimpin HARAPAN berkata ia merupakan petanda "tsunami Melayu" walaupun Najib dan BN menolak tanggapan itu dan menafikan BN kehilangan sokongan daripada pengundi asas mereka.
Malah, kata Mahathir, ceramah HARAPAN di Putrajaya - kubu kuat BN - malam Khamis lalu menarik lebih 10,000 hadirin.
"Kami fikir di Purajaya (kebanyakan) kakitangan awam, mereka takut kerana Najib ancam mereka. Tetapi mereka hadir pada malam itu.
"Saya fikir sekurang-kurangnya 12,000 yang hadir, ada yang kata 25,000. Mereka yang tengok melalui tingkap hotel nampak padang penuh dengan orang.
Bandar dan luar bandar
"Respons ini tak pernah dilihat sebelum ini. Di Pulau Pinang, 100,000 berkumpul.
"Media pasti dapat melihatnya, tetapi media beritahu saya 'anda akan kalah'," keluhnya.
Sejak bermulanya kempen, pemimpin HARAPAN daripada BERSATU, PKR dan AMANAH giat berkempen di pedalaman dan kawasan Melayu - gelanggang yang dikuasai BN.
Di gelanggang BN itu, mereka mengadakan ceramah kelompok yang berskala kecil. Sementara Mahathir di pentas ceramah-ceramah besar di kawasan bandar yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum.
Sementara itu, bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz yang sebelum ini hanya mengkritik BN menerusi Facebook membuat penampilan pertama dalam kempen HARAPAN, di Melaka semalam.
Penglibatan semula Mahathir dalam politik - kali ini sebagai calon perdana menteri HARAPAN - turut mendapat sokongan beberapa bekas menteri Umno seperti Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rais Yatim.
Ia menyebabkan Umno memecat keahlian tiga tokoh veteran parti itu hari ini.