Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doa tetap buat bonda, dia tak tentang saya, kata Nik Omar

Calon HARAPAN, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tindakan ibunya berceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan pada malam semalam bukan bertujuan menentangnya.

Sebaliknya, anak lelaki pertama bekas mursyidul am PAS itu menganggap apa yang dilakukan ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak adalah satu tindakan demokrasi.

Sehubungan itu, Nik Omar berkata beliau selaku anak akan sentiasa mendoakan ibu bapanya dan percaya Tuan Sabariah tetap menyayanginya.

"Dia tak berkempen menentang ustaz (Nik Omar) insha- Allah.

"(Apa yang dilakukan ibu) itu kita boleh sebut dalam negara demokrasi sebagai rakyat diberi pilihan.

"Tapi ambo (saya) sebagai anak, ambo tetap doa sokmo-sokmo (selalu) pada ayah, mak ambo sebagaimana orang lain doa pada mak ayah dia.

"Seorang ayah, seorang mak kalau belah-belah mana pun (walau macam mana pun) anak dia, kalau anak dia terlibat dengan dadah pun, mereka tetap sayang apatah lagi ambo, insya-Allah," katanya tersenyum.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sarapan pagi di Kampung Cheras Baru di ibu negara hari ini.

Nik Omar mengulas soalan pemberita mengenai tindakan Tuan Sabariah yang turun berkempen malam semalam di kawasan Nik Omar.

Semalam Malaysiakini melaporkan, balu kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkempen untuk calon lawan anaknya, Ahmad Fathan Mahmood dari PAS.

Tuan Sabariah dilaporkan berkata, beliau sehingga kini tetap berpegang pada pesanan allahyarham suaminya bahawa tiada parti lain yang lebih baik berbanding parti PAS.

"Ambo (saya) bukan mari untuk ceramah, tapi diminta bercakap, saya gugup sikit sebab tak biasa. Selalunya hanya kecek (bercakap) di rumah.

"Pilihan raya tak lama dah, ambo rasa biarlah kita kekal dengan apa yang Tok Guru tinggal. Sekarang memang ramai mengaku parti Islam untuk mempengaruhi orang.

"Baru-baru ini, orang kata keluarga saya berpecah. Saya anak ada 10 orang, hanya seorang saja yang 'monteng' ke lain (tak sehaluan)," kata Tuan Sabariah dengan nada sebak.

Mengulas mengenai perkataan 'monteng' oleh ibunya itu, Nik Omar hanya ketawa dan berkata:

"Monteng tu biasalah, ahli parlimen pun ada yang monteng," katanya sambil tersenyum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS