PRU14 | Panglima Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menyeru anggota TLDM supaya mengundi secara bijaksana dan tidak membiarkan peluang "keemasan" terlepas begitu sahaja.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau mengingatkan anggota TLDM supaya keluar awal pada hari mengundi dan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.
"Sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab undilah dengan penuh bijaksana. Ketahuilah, undi kita adalah rahsia.
"Saya nasihatkan agar anda laksanakan pembuangan undi dengan penuh adab serta kekalkan tahap disiplin kita yang tinggi.
"Janganlah dipengaruhi dengan hasutan-hasutan yang boleh menjejas keputusan pemilihan kita. Gunakan kebijaksanaan masing-masing berdasarkan fakta, pemerhatian, pencapaian yang dikecapi dan pengalaman kita sendiri," kata beliau.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta anggota tentera mengundi dengan bebas dan tanpa kekangan kepada mana-mana pihak pada pilihan raya ini.
Baca: Dr M utus surat khas pada panglima-panglima tentera
Ahmad Kamarulzaman turut mengingatkan anggota TLDM memastikan mereka mengundi awal serta menyemak pusat dan saluran mengundi terlebih dahulu.
"Bagi yang berkeluarga, bawa atau bantu pasangan kita atau ibubapa kita sekali," katanya.
Bagaimanapun, sebagai anggota tentera yang profesional serta taat setia pada raja dan negara, beliau menasihati warga TLDM agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan politik.
Selain itu beliau turut meminta pegawai atasan TUDM agar memberikan kelepasan kepada anggota mereka untuk mengundi.
"Panglima, Pegawai Memerintah, Pegawai Bahagian perlu membantu serta memastikan agar semua warga Navy People diberi kelepasan untuk mengundi serta faham akan hak mereka untuk menentukan agar masa depan negara kita, TLDM kita dan keluarga kita terus terjamin.
"Rugi jika lepaskan peluang keemasan ini," katanya.