BERSIH dan NGO Engage mendakwa menemui sepuluh kejanggalan utama dalam daftar pemilih untuk PRU ke-14.
Dalam kenyataan hari ini, dua NGO itu berkata ia ditemui berdasarkan analisis terhadap daftar pemilih terkini dan sebelumnya.
Sepuluh kelemahan itu seperti berikut:
- Pengundi yang sudah meninggal dunia didaftar semula sebagai pengundi baru (23 kes).
- Bekas warganegara didaftar semula sebagai pengundi baru (48 kes).
- Pengundi yang ada dalam daftar PRU ke-12, hilang pada daftar PRU ke-13, dan muncul semula dalam daftar PRU ke-14 tanpa rekod dalam daftar pemilih tambahan (2,015 kes).
- Nama pengundi yang dibuang ekoran rekod tidak aktif dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara didaftar semula sebagai pengundi baru.
- Pengundi yang menukar alamat mengundinya pada kadar sangat kerap (lebih 1,000 kes).
- Tahun lahir pengundi yang tidak sama dengan tahun pada kad pengenalan (795 kes).
- Jumlah pengundi yang banyak yang didaftarkan dengan alamat sama (lebih 500,000 kes).
- Kira-kira 15 peratus pengundi yang tidak beralamat (2,123,973 kes).
- Polis yang sudah bersara tetapi kekal menjadi pengundi awal (3,525 kes, termasuk bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Ismail Omar) dan pengeluaran kertas undi berulang.
- Kad pengenalan sama digunakan bagi pengundi berbeza.
BERSIH dan Engage berkata kejanggalan ini bukan perkara baru kerana ia telah disebut dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen pada 2011 yang mengusulkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi.
"Namun kami amat kecewa kejanggalan ini kekal ada, apatah lagi dengan PRU yang akan berlangsung minggu depan.
"Integriti daftar pemilih adalah salah satu unsur penting pilihan raya adil dan bersih. Daftar yang banyak kelemahan akan membangkitkan persoalan kesahan pilihan raya," kata mereka.
Dengan mengambil kira kelemahan yang ada, mereka menggesa audit bebas dijalankan terhadap daftar pemilih terkini.
"Kami akan membantu ejen tempat mengundi dengan memberikan senarai pengundi meragukan di kawasan masing-masing di seluruh negara," katanya lagi.