PRU14 | Nik Omar Nik Abdul Aziz hari ini mengulas mimpi presiden PAS yang dikatakan melihat Allahyarham ayahnya, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan tempang.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka itu mengulas mimpi berkenaan dengan bercerita tentang mimpi seseorang yang juga mendakwa berjumpa Allahyarham ayahnya dalam tidur.
Dalam nada berseloroh, Nik Omar berkata kemungkinan sekarang semua sedang dalam musim mimpi.
"Ambo nak jawab ringkas, ada ore hantar (cerita) viral kata ada ore tu kata dia mimpi tok guru juga.
"Dah musim mimpi kan? Musim malaikat turun. InsyaAllah malaikat turun sokmo," katanya memulakan cerita yang mengundang gelak ketawa kira-kira 100 pengundi yang hadir dalam program HARAPAN di Shah Alam.
Menceritakan secara lanjut, Nik Omar berkata, individu berkenaan melihat Nik Aziz sedang berjalan memakai baju T.
"Dalam mimpi tu juga, dia kata ada jumpa tok guru, tengok tok guru tu, relax je dia jalan. Pakai baju t-shirt je.
"Cumo yg dia pelik, belakang tu ada gambar Mahathir!" kata Nik Omar sambil ketawa.
Nik Omar yang hadir untuk berkempen bagi calon-calon HARAPAN Selangor tidak menjelaskan dengan lebih lanjut jika cerita mimpi itu adalah hanya gurauan.
Bagaimanapun, Nik Omar dipercayai merujuk Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang sebelum ini menceritakan mimpi Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang melihat Nik Aziz hanya mempunyai sebelah kaki.
Mohd Amar mentafsir mimpi berkenaan sebagai petanda bahawa Nik Omar akan menyertai HARAPAN dan bertanding dalam PRU.
Kisah mimpi berkenaan dilapor media sehari selepas Nik Omar sah menjadi calon HARAPAN dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei ini.
Cerita mimpi tersebut turut mengundang reaksi bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin yang tampil dan mengakui beliau juga termimpikan bekas menteri besar Kelantan itu yang menurutnya, kehilangan kedua-dua belah kakinya.
Zainuddin mentafsir mimpinya itu sebagai petanda bahawa semua ahli PAS akan menyokong penuh Nik Omar pada 9 Mei ini.