Kajian terbaru tanggapan rakyat menunjukkan 45 peratus daripada responden Melayu berpendapat sokongan masyarakat itu terhadap Pakatan Harapan akan meningkat.
Bagaimanapun, Penasihat Kajidata Research Profesor Syed Arabi Idid dilaporkan berkata, sama ada akan berlaku tsunami undi Melayu seperti yang dijangkakan oleh pihak tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, bagi masyarakat Cina pula, sebanyak 64.2 peratus daripada responden bersetuju bahawa sokongan masyarakat itu masih bersama Pakatan Harapan.
Sokongan mereka bagi DAP turut dijangka meningkat pada pilihan raya umum minggu depan.
Sementara itu, 16.7 peratus daripada responden bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon bagi jawatan perdana menteri selepas PRU14 dengan 13.3 peratus memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak (20.5 peratus) merupakan calon pilihan utama bagi jawatan perdana menteri daripada tiga nama itu.
Kajian itu juga menguji populariti beberapa pemimpin lain.
Kajian itu dibuat melalui telefon dari 12 hingga 27 Mac melibatkan 1,021 responden di seluruh negara.