PRU14 | Menjadikan Umno - dan BN - sebagai musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini 'mendepani' seteru utamanya itu dengan bersiar-siar betul-betul di depan bangunan parti itu di Pekan, Pahang.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berada di Pekan untuk berkempen.
Kerusi parlimen Pekan disandang Datuk Seri Najib Razak dan pengerusi BN itu sedang berusaha mempertahankan kawasan itu untuk penggal ke-10 pada minggu depan.
Najib mewakili kerusi Pekan sejak 1976 selepas bapanya Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.
Dalam beberapa keping gambar dimuat naik di Facebook Dr Mahathir, 92, dilihat tersenyum lebar semasa melayan permintaan orang ramai untuk bergambar bersama.
Lokasi itu di sebuah kedai kopi yang terletak di seberang jalan bagunan Umno Pekan.
Dalam sidang media bersama Tun Daim Zainuddin selepas itu Dr Mahathir berkata Umno yang ada hari ini bukan lagi pertubuhan politik yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu.
"Umno sekarang bukanlah Umno yang ditubuhkan oleh Datuk Onn (Jaafar), yang ditubuhan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein (Onn)...
"Umno sekarang bukan lagi Umno," katanya.
Kenyataan itu seiring dengan sepucuk surat terbuka ditulis bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang ditujukan kepada anggota Umno dan dimuat naik di Facebook beliau semalam.
Surat itu bertarikh 17 April.
Dalam surat itu Dr Mahathir merayu kepada penyokong Umno supaya memikirkan semula sokongan mereka kepada Najib.