PRU14 | Kedah menjadi satu daripada medan tempur penting buat Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam usaha gabungan itu mengetepikan BN dari Putrajaya buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU).
Namun di sebalik percaturan dibuat, rentak kempen yang berlangsung setakat ini dianggap agak perlahan, malah tidak banyak ceramah berskala mega diadakan di seluruh negeri.
Malah pada ceramah kelompok - serta beberapa ceramah utama - apa yang terlihat agak aneh.
Orang ramai yang datang sama ada gemar duduk berhampiran pentas penceramah, atau sekadar berdiri dalam gelap di bahagian belakang atau tepi.
Keadaan itu menyebabkan bahagian tengah kawasan yang diperuntukkan untuk hadirin menjadi lompong.
Keadaan itu banyak dilihat berlaku di kawasan luar bandar.
Ceramah di Batu Lima, Sik pada 30 April misalnya ada kira-kira 300 orang yang hadir. Tetapi mereka sama ada duduk di beberapa baris pertama di depan pentas, atau kekal mendengar dalam kesamaran malam.
Ada antara mereka sekadar melepak di atas motosikal masing-masing yang diletakkan di tepi jalan. Tokoh yang berucap ketika itu bukanlah ketua atau anggota jawatankuasa bahagian saja, sebaliknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Sokongan tak terbuka
Mukhriz ialah bekas menteri besar Kedah dan kini salah seorang pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Keadaan sama dilihat di Pengkalan Kundur yang terletak di Kuala Kedah. Tokoh yang berucap ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ada kira-kira 500 orang berhimpun mendengar ceramah berkenaan.
Tinjauan mendapati keadaan samar-samar lebih 'memberahikan' orang yang datang berbanding duduk di bawah simbahan lampu lebih terang.
Calon HARAPAN untuk DUN Sungai Tiang Abdul Razak Khami berkata keadaan itu adalah lumrah bagi orang Melayu yang sentiasa mementingkan hubungan yang baik sesama anggota masyarakat.
Kata Abdul Razak, orang yang datang itu adalah penyokong HARAPAN tetapi masih enggan menunjukkan pendirian mereka secara terbuka.
"Saya yakin di Pendang ini hampir 50 peratus daripada ahli Umno - termasuk 50 peratus anggota jawatankuasa mereka - bersama kami sekarang tetapi sengaja tak mau tunjuk.
"Pengalaman saya di Pendang ni, kalau nak buat ceramah memang diminta oleh penganjur setempat supaya suasana itu tak berapa cerah terutamanya di dalam khemah.
"Sebabnya kalau disediakan betul-betul cerah, orang akan nampak muka (siapa yang datang). Jadi orang takkan hadir," katanya kepada Malaysiakini.
Mengenai jumlah kecil yang datang pada ceramah besar Abdul Razak berkata jumlah kehadiran tidak membayangkan keberbesanan sesuatu program.
"Katakanlah kalau ada 5,000 orang, tetapi yang betul-betul fokus kepada apa yang kita cakap, apa yang penceramah cakap, beberapa peratus saja.
"Sesetengah orang hadir cuma untuk meramaikan majlis tetapi dia tak dapat inti pati yang kita nak," katanya.
Jurukempen untuk calon BERSATU di Pendang, Danial Syahiran Ho Imran Ho turut bersetuju dengan Abdul Razak.
"Orang tak mahu tunjuk sokongan mereka secara terbuka. Jadi kalau ada khemah yang terang-benderang, mereka takkan masuk.
"Apabila kita tutup sikit lampu, baru mereka datang," katanya.
Terhad oleh masa
HARAPAN meletakkan Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di Pendang bagi menghadapi orang lama Umno, Datuk Othman Abdul.
Mengenai pengundi muda Abdul Razak berkata jumlah mereka yang tidak ketara pada ceramah dianjurkan berpunca daripada kemudahan internet serta peranti pintar yang ada kini.
Katanya sesuatu maklumat dapat disebarkan sepantas kilat melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
Sementara itu di Jerai, ejen untuk calon BERSATU bagi kerusi parlimen tu Nordin Ahmad berkata ceramah berskala besar dengan menampilkan tokoh utama HARAPAN masih penting.
Nordin yang bertugas bagi memenangkan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi bagaimanapun mengakui fakor masa menjadi kekangan kepada mereka.
Kedah mempunyai 15 kawasan parlimen dengan Alor Setar dianggap satu-satunya kerusi bandar. Selebihnya adalah kawasan luar bandar atau separa bandar.
Daripada 15 kawasan itu 10 adalah kawasan pengundi Melayu melebihi 75 peratus kecuali Kubang Pasu. Di Sik pengundi Melayu terdiri daripada 93 peratus.
Kebanyakannya adalah kerusi yang memihak kepada Umno dan HARAPAN bergantung kepada 'tsunami Melayu' bagi menarik sokongan kepada mereka kali ini.