Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Daim kempen HARAPAN sebab bantah akta antiberita palsu

PRU14 |Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin secara rasmi terlibat berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) menjelaskan sebab beliau berbuat demikian.

"Saya tidak bersetuju dengan persempadanan semula (SPR), saya tidak setuju dengan akta Antiberita Tidak Benar, saya fikir ia tidak perlu.

"Saya telah menasihati kerajaan, 'tolong jangan berbuat demikian, kita sudang ada terlalu banyak masalah, kenapa cipta lebih banyak lagi masalah, orang ramai sudah pun marah kepada kami'.

"Rakyat Malaysia dapat berfikir secara waras, jika anda akui kesilapan mereka akan menerimanya.

"Tetapi jika kamu menafikannya dan menggunakan undang-undang untuk memanipulasi, mereka akan berkata mesti ada sesuatu yang tidak kena," beliau memberitahu pemberita selepas berkempen untuk calon Lembah Pantai Fahmi Fadzil di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur malam ini.

Akta itu membawa hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Hari ini polis mengesahkan sedang menyiasat Tun Dr Mahathir Mohamad bawah akta itu berikutan mendakwa jet yang sepatutnya dinaiki Jumaat lalu telah disabotaj.

Mengulas perkara itu, Daim mempersoalkan bagaimana polis menentukan dakwaan Mahathir itu sebagai berita palsu.

"Bagaimana anda boleh kata ia berita palsu sedangkan tayar (kapal terbang) ada masalah? Kapal terbang bukan macam basikal atau kereta...nyawa anda di tangan juruterbang.

"Sukar dipercayai mereka mahu siasat Mahathir (berhubung isu ini)," katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan kepakaran polis dalam soal penerbangan.

"Biasanya bukan polis, (siasatan) sepatutnya diketuai oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam. Ini bawah bidang kuasa mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS