ULASAN | “Jadi, masih mahu undi rosak?”
Hampir tersedak air coklat panas yang sedang aku hirup di bibir cawan putih tatkala mendengar soalan itu. Aku mengangkat wajah memandangnya, yang sedang menongkat dagu sambil tersenyum simpul. Lesung pipit di pipi kirinya menambah manis di sekitar gincu merah bibirnya itu.
Aku menggeleng kepala tanda protes. Dia kemudian mengangkat kedua tangannya seraya membuat tanda jari hashtag dan mengucap perlahan - #undirosak - dengan gaya paling sinikal sekali.
Aku lantas mengeluarkan naskhah kecil dari beg Kanken biru di sebelah. Sepasang pasangan muda berpegangan tangan sedang melintas di depan. Restoran Chinoz di Bangsar Shopping Centre ini masih sepi. Mungkin masih awal pagi. Pasangan itu, yang perempuan berbaju merah perlahan dan yang lelaki berkemeja putih mengambil tempat di sudut hujung.
Aku menolak naskhah kecil itu kepadanya dengan perlahan. “Kau tahu, semalam aku membaca naskhah ini dengan anak mahasiswa di Gombak?”
“Kau masih belum menjawab soalanku,” jawabnya dalam senyum manis yang sinis dan menyakitkan.
Aku ketawa sambil menggeleng kepala menahan degilnya seorang perempuan.
“Kenapa harus kita risau dengan undi rosak?” Aku memasang perangkap.
“Kau menyokong gerakan mereka kan?” Jawabnya sambil jari halusnya bermain dengan bibir cawan putih itu. Tak masuk perangkap.
“Isunya bukan undi rosak. Yang itu tak perlu kita risaukan sebenarnya. Mereka ini golongan celik politik, aktivis dan orang-orang perseorangan yang cakna dengan perubahan. Harus apa kita khuatirkan mereka?”
“Iya, tapi soalanku kau masih belum jawab kan? Langsung terus bagaimana, undi rosak atau tidak?”
“Yang harus kita risaukan sebenarnya adalah dengan 3,616,388 anak muda kita, berumur lebih dari 21 tahun tapi tak mendaftar untuk mengundi.”
“Jangan kalih isu ya,” wajahnya masih sinikal dan aku menjadi geram. Di belakang bunyi perlahan Hoppipolla, oleh Sigur Ros. Seorang pelayan melihatku dari sudut hujung dan tersenyum. Aku kemudiannya membuka buku kecil itu dan membaca perlahan.
“Ini yang aku bacakan untuk anak mahasiswa semalam. Cita Sempurna Warisan Sejarah oleh Syed Hussain Alatas. Monograf kecil ini adalah bahagian dari Siri Syarahan Umum Bangi yang diterbitkan oleh Penerbit UKM pada tahun 2001,” Aku berhenti dan memandangnya.
“Teruskan, aku mendengar.”
“Pada halaman 31, Syed Hussein Alatas menulis tentang empat jenis pemimpin. Yang pertama katanya adalah jenis Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka tidak mengumpul harta, menyalah guna kekuasaan, menindas yang lemah, bertindak sewenang-wenang atau melindungi petugas yang menyeleweng. Tindakan mereka kuat dipandu oleh cita sempurna dan bentuk pemerintahannya adalah republik berdasarkan hukum Quran,”
“Pemimpin yang kedua pula menurut Syed Hussein Alatas adalah pemimpin yang hendak mengalihkan arus cita bencana dinasti Bani Umaiyah ke aras cita sempurna Islam. Menurut Syed Hussein Alatas contoh pemimpin dalam kategori ini adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Salahuddin Al-Ayubi. Umar Abdul Aziz selepas diangkat menjadi khalifah didapati menangis setelah bersembahyang bersama isterinya Fatimah. Ketika ditanya apa yang menyedihkan beliau, Umar Abdul Aziz menjawab bahawa beliau teringat pada yang miskin, yang sakit dan kekurangan, yang tidak berpakaian dalam kesusahan, yang tertindas dalam penderitaannya, yang tak dikenal dalam penjara, orang tua yang dihormati, mereka yang berkeluarga besar tetapi kekuatan belanjanya kecil, dan semua yang demikian dalam dunia, di negara dan daerah yang jauh, semua ini membangkitkan kesedaran bahawa beliau akan dituntut tanggungjawab kelak pada Hari Kiamat. Beliau merasa tidak dapat mempertahankan diri dan oleh kerana ini beliau menangis,”
“Salahuddin Al Ayubi pula terlibat dalam Perang Salib melawan seluruh Eropah terutama selepas beliau menduduki kembali Baitulmuqaddis pada 1187 M setelah diambil oleh orang Kristian Eropah pada 1099M dan seterusnya didirikan kerajaan Jerusalem. Menurut Syed Hussein Alatas, Stanley Lane-Poole yang pertama menulis biografi Salahuddin dalam bahasa Inggeris menyatakan bahawa justeru yang menarik bagi orang-orang Eropah adalah akhlak Salahuddin, yakni kemurahan hatinya serta sifat sopan kesatriaannya dibandingkan dengan kejayaan perangnya yang lebih dihargai oleh orang-orang Islam. Waktu beliau meninggal dunia, tidak ada rumah, harta benda atau tanah yang dipunyainya. Sebelum itu segala duit dan harta digunakan untuk amal dan menolong orang. Bendahari beliau selalu menyembunyikan duitnya supaya dapat digunakan dalam masa-masa terdesak. Beliau meninggal dengan duit sebanyak 1 dinar dan 47 dirham. ‘Sultan agung’ ini kata Lane-Poole, “meninggal hampir tiada duit. Susah sekali kita gambarkan satu sifat yang lebih tidak mementingkan diri sendiri, patuh pada tujuan lebih tinggi, ataupun lebih dapat dikasihi,”. Bahkan Salahuddin dikebumikan dengan pedangnya dan perbelanjaan untuk tindakan yang sederhana ini dilaksanakan dengan duit pinjaman,”
Aku menyambung; “Syed Hussein Alatas menulis 10 sifat Sultan Salahuddin iaitu, adil, murah hati, mementingkan keperluan rakyat dan kesejahteraannya, tinggi semangat bekerja dan keazaman untuk mencapai sesuatu, mengelakkan diri dari hidup mewah dan runtuh akhlak, menghormati kedaulatan hukum walau dirinya atau keluarganya yang terlibat, menghargai ahli ilmu pengetahuan dan ilmu-ilmu pada seluruhnya, tinggi kesatriaan dan hormat diri yakni kemurnian, kekuasaanya tertakluk pada cita sempurna dan peribadinya tidak tercemar oleh kekuasaan dalam keadaan di mana dia mengambil keputusan yang diketahui hanya oleh dia sendiri bahawa keputusan itu adil atau tidak walaupun zahirnya baik tetapi niatnya lain,”
Dia menguap kecil. Matanya terkebil. “Mengapa kau bacakan ini kepadaku?” Tanyanya perlahan.
Aku menyelak halaman seterusnya dan menyambung. “Jenis ketiga pula adalah mereka yang menonjolkan tujuan cita sempurna dalam pentadbirannya tetapi dalam tindakan peribadinya terhadap musuh dan luar sahabat adakalanya kejam dan buas. Demikian juga beberapa segi kehidupan peribadinya menyeleweng daripada ajaran moral.
Syed Hussein Alatas memberi contoh Walid bin Abdul Malik, Khalifah Bani Umaiyah yang ke-6 (705-715 M). Tulisnya, pencapaian Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah sangat tinggi.
Jalaludin Suyuti mengakui penluasan kekuasaan benua Islam di bawah Walid sama dengan di zaman Saidina Umar. Menurut Yukubi yang menulis pada 891 M, masjid di Damsyik yang didirikan oleh Walid adalah yang terbaik dalam dunia Islam.
Dalam catatan Ibn Fakih dinyatakan bahawa Walid menggunakan duit daripada cukai tanah kerajaannya dalam masa 8 tahun. Rekod perbelanjaan telah dibawa padanya atas punggung 18 unta.
Semua ini diperintahkan dibakar. Ruang sembahyang disediakan untuk dua puluh ribu orang. Untuk menggantung lampu terdapat enam ratus rantai emas. Mihrabnya dihiasi oleh permata mahal.
Umar bin Abdul Aziz yang menjadi khalifah selepasnya menganggap perbelanjaan untuk masjid itu terlalu berlebihan. Contoh seterusnya adalah Al Kahir, Khalifah Bani Abas ke-19 pada 934 M. Al Kahir melarang pertunjukan menyanyi dan menjual beli hamba-hamba perempuan yang menjadi penyanyi bukan kerana hendak merubah moral tetapi untuk membelinya dengan harga murah kerana beliau sangat suka dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi ini.
Orang minum arak juga dilarang tetapi beliau sendiri terus minum arak dan mengumpulkan penyanyi-penyanyi perempuan.
Tulis Syed Hussein Alatas lagi, keganasan Al Kahir sangat mengerikan. Dengan kehadirannya dua orang lelaki dilempar ke dalam perigi dan salah satu bergantung memegang hujung mulut perigi. Al Kahir perintahkan tangannya dipotong, setelah panglima tenteranya Munis jatuhnya dari kedudukan, beliau perintahkan supaya cucu Munis dipotong kepala. Kepala itu dihantarkan kepada bapanya Yalbak, anak Munis. Setelah itu kepala Yalbak dipotong, dan kedua-duanya dihantar kepada Munis. Setelah itu Munis dibawa ke longkang dan disembelih macam kambing,”
“Dua lagi contoh yang Syed Hussein Alatas kemukakan untuk pemimpin jenis ini di mana usaha dan niat menguatkan serta membangun ngara bercampur dengan kekejaman dan tindakan menghukum sewenang-wenang adalah Balban, Sultan Delhi (1266-86) dan Muhammad Ibn Tughluk, Sultan Delhi (1325-51). Balban percaya pada despotisme dan menganggap dirinya sebagai bayangan Tuhan atas Bumi. Balban juga telah menguatkan kekuasaan negara dalam menghadapi ancaman Mongol. Di Rohilkhand, tentera Balban diperintah memusnah kampung-kampung, membakar rumah-rumah dan membunuh semua lelaki dewasa. Perempuan dan kanak-kanak dijadikan hamba. Di setiap kampung dan hutan terdapat timbunan mayat manusia. Ketakutan dan teror yang dicetuskan demikian besar hingga penduduk Katehar tidak berani lagi menonjolkan kepalanya untuk masa yang lama.”
Aku meneguk air coklat yang semakin sejuk. Di luar kelihatan hujan lebat dan suasana redup. Aku berhasrat menyambung pembacaan ketika dia bertanya;
“Apakah yang dimaksudkan dengan cita sempurna? Atau cita bencana?”