Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK: Serangan buktikan aura Nik Omar mengembang
Diterbitkan:  May 2, 2018 1:00 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Krisis politik menjelang pilihan raya tidak seharusnya mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara Nik Abduh dan Nik Omar, kata Syed Badli Shah Syed Osman.

Penolong setiausaha Pemuda PKR itu berkata, kedua-dua mereka sepatutnya bersikap lebih matang dengan meraikan keterbukaan dan perbezaan politik.

"Menyerang secara bertubi-tubi termasuk berkait hal peribadi dan kekeluargaan, jelas menunjukkan bahawa aura Nik Omar kini semakin mengembang dan menguat.

“Sesungguhnya pertembungan dalam pilihan raya tidak akan menjejaskan sebarang hubungan kekeluargaan.

"Kecuali sentimen permusuhan ini sengaja ditiupkan dengan tujuan untuk mengeruhkan hubungan Nik Omar dan keluarganya," tambah beliau merujuk kecaman Nik Abduh terhadap abangnya itu.

Dua hari lalu, dalam tulisan beliau berjudul “Dua kali bonda 'ditembak”, Nik Abduh yang juga pemimpin pusat PAS dan calon kerusi parlimen Bachok mengecam Nik Omar yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Namun, sehari selepas itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil sikap 'berlepas diri' daripada serangan Nik Abduh terhadap abangnya itu.

Kata Tuan Ibrahim, hanya kenyataan pimpinan utama sahaja mewakili kenyataan rasmi parti sementara kenyataan lain, PAS tidak akan bertanggungjawab.

Namun begitu, berlainan pula dengan sikap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui “Surat terbuka kepada anak pemimpin yang meninggalkan perjuangan ayah' di laman rasmi PAS sejak dua hari lalu.

Abdul Hadi tidak menamakan Nik Omar secara khusus sebaliknya menulis secara umum kepada semua anak-anak bekas pimpinan PAS yang sudah bertukar bahtera “bernakhodakan” Tun Mahathir Mohamad.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Syed Badli Shah menyifatkan keputusan Nik Omar bertanding pilihan raya tidak seharusnya dijadikan isu.

"Kelihatan jelas kegusaran mereka apabila melihat potensi yang terdapat pada Nik Omar mampu membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan khususnya di Kelantan.

“Kalah dan menang pertarungan pilihan raya tidak akan menjejaskan sama sekali hubungan beliau dan keluarga," kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS