Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRU14 | PAS menunjukkan komitmennya untuk menang kerusi Parlimen Langkawi apabila pulau itu menjadi destinasi awal presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak kempen bermula.

Di hadapan 1,000 hadirin, beliau menggesa pengundi di situ agar memberi ruang untuk Tun Dr Mahathir Mohamad berehat dengan tidak mengundinya.

"Jika sayangkan Dr Mahathir jangan undi dia, biarlah dia berehat dan habiskan masa tuanya.

"Bukan masanya (untuk) dia jadi perdana menteri (sekali) lagi," katanya dalam program ceramah di markas PAS di Kuah, Langkawi.

Calon PAS DUN Kuah - satu daripada dua DUN dalam parlimen itu - Mazlan Ahmad turut menyuarakan perkara sama, dengan menyifatkan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sudah 'tidak larat' untuk menjadi anggota parlimen.

"Jangan bagi dia jadi anggota parlimen Langkawi sebab dia sudah tidak larat. Dia sudah 22 tahun memerintah. Jika anda kasihan pada dia, pangkahlah PAS," katanya lagi.

Mahathir memang mempunyai sokongan kuat dan malah boleh dikatakan sinonim dengan pulau pelancongan itu kerana membangunkannya ketika menjadi perdana menteri.

Pada 16 April lalu, Abdul Hadi berkata PAS tidak akan membiarkan Mahathir menang begitu saja di kerusi itu dan akan meletakkan calon 'bertenaga' bagi melawannya dan juga BN.

Pada dua pilihan raya sebelum ini, kerusi itu biasanya diperuntukkan kepada PKR untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Pada PRU ini, Mahathir akan berdepan calon PAS Zubir Ahmad dan penyandang daripada BN Datuk Nawawi Ahmad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS