Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Swiss mulakan siasatan jenayah syarikat usahasama 1MDB
Diterbitkan:  May 1, 2018 5:50 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Pendakwaraya negara itu siasat dua pegawai PetroSaudi atas tuduhan rasuah, kes tipu dan penggubahan wang haram.

Pendakwaraya Switzerland menyiasat dua pegawai PetroSaudi International, syarikat misteri yang terlibat dalam perjanjian perniagaan pertama 1MDB pada tahun 2009.

Menurut Financial Times yang berpangkalan di London, dua individu itu tidak dinamakan oleh pendakwa Switzerland, tetapi kesalahan yang disyaki termasuk penipuan, rasuah dan pengubahan wang haram.

Akhbar harian kewangan antarabangsa itu, memetik kenyataan pegawai Switzerland yang tidak dinamakan, mengatakan tindakan ini sebahagian daripada penyiasatan yang lebih luas mengenai dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB.

Salah seorang daripada kedua-duanya juga disiasat kerana disyaki memalsukan dokumen. Laporan itu berkata siasatan terhadap kedua-duanya telah bermula pada bulan November 2017 lalu, tetapi tidak didedahkan atas sebab-sebab operasi.

"Penyiasatan Swiss juga penting kerana ia kes jenayah pertama yang didedahkan secara rasmi terhadap kakitangan syarikat Saudi itu, sebuah perniagaan yang agak kurang diketahui tetapi berhubungan dengan salah seorang putera Arab Saudi.

"Sebelum ini, penyiasat Amerika Syarikat mendakwa wang rakyat Malaysia bernilai AS$ 1 bilion bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi diselewengkan kepada seorang ahli perniagaan Malaysia.

"PetroSaudi sering kali menafikan sebarang salah laku," tulis laporan itu.

Laporan itu menyebut PetroSaudi menyatakan syarikat itu "menyedari penyiasatan berterusan pihak berkuasa Swiss yang berkaitan dengan 1MDB" tetapi tidak menjadi subjek siasatan.

PetroSaudi kerjasama bantu siasatan

PetroSaudi juga menolak dakwaan syarikat itu dan pegawainya terlibat dalam penyelewengan dana daripada 1MDB dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana siasatan pihak berkuasa.

Penglibatan syarikat dengan 1MDB bermula pada akhir September 2009, selepas Putrajaya membantu menjamin bon bernilai RM5 bilion untuk lembaga pelaburan negeri, Terengganu Investment Authority (TIA).

Berikutan itu, terdapat pertikaian antara kerajaan Terengganu dan Putrajaya, yang membawa kepada kerajaan negeri melepaskan kepentingannya di TIA.

Syarikat itu diambil alih oleh Putrajaya yang menamakan semula syarikat itu menjadi 1Malaysia Development Bhd dan dijenamakan sebagai syarikat dana pelaburan negara.

Dalam masa beberapa minggu selepas Putrajaya mengambil alih syarikat 1MDB, ia menandatangani perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi melalui suntikan tunai AS$ 1 bilion. Perkongsian itu hanya berlangsung selama enam bulan.

Good Star Ltd

Menurut Jabatan Kehakiman AS, sejumlah AS$ 700 juta daripada AS$ 1 bilion masuk ke sebuah syarikat bernama Good Star Ltd, sebuah perusahaan yang didaftar di Kepulauan Cayman.

Bank Negara telah menulis kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) pada 6 April 2016 untuk mengesahkan bahawa Good Star Ltd dimiliki secara benefisial oleh Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarga perdana menteri.

Siasatan PAC juga mendedahkan lembaga pengarah 1MDB tidak meluluskan pemindahan wang ke Good Star dan membantah perkara itu.


BACA: Saman DOJ: Dakwaan rompakan berbilion ringgit 1MDB


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS