Saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di London akan didengar pada April tahun depan.
Sarawak Report melalui kenyataan di laman webnya, menafikan dakwaan saman itu telah dimenangi Abdul Hadi.
"Sekiranya penyokong PAS mendakwa 'Hadi telah menang' sebarang aspek kes berkenaan, pemimpin mereka perlu faham bahawa ia baru saja bermula.
"Setakat ini, Hadi belum menang apa-apa kecuali jaminan perbicaraan penuh yang akan mengkaji setiap perincial hubungan PAS dengan Umno bermula sekarang hingga April tahun depan," kata laman web berkenaan.
Tambah Sarawak Report lagi, Rewcastle-Brown sudah memohon kepada mahkamah untuk mengkaji semula pembelaannya susulan bukti baru yang dikemukakan dan diarahkan membayar £40,000 (RM215,867) untuk kos guaman Abdul Hadi untuk itu.
Sementara itu, peguam Abdul Hadi Wan Rohimi Wan Daud mengisytiharkan kemenangan awal dengan mengumumkan bahawa anak guamnya menang kesemua lima penghakiman interlokutori (keputusan yang tidak menyelesaikan kes sepenuhnya) terhadap Rewcastle-Brown.
"Sarawak Report diarahkan membayar kos £28,900 (RM156,017)," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kami sudah menghubungi Wan Rohimi untuk mendapatkan ulasan lanjut perkara itu.
Difahamkan, Abdul Hadi akan mengadakan sidang media di Marang, Terengganu tengah hari ini untuk memberi perincian berhubung kes berkenaan.
Abdul Hadi sebelum ini memfailkan saman ke atas Rewcastle-Brown di UK berhubung artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.