Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harapkan pegar, pegar makan padi - pakar ekonomi
Diterbitkan:  May 1, 2018 8:39 AM
Dikemaskini: May 3, 2018 2:29 AM

Q&A |  Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa peningkatan aliran masuk dana asing ke Bursa Malaysia dan rizab antarabangsa Bank Negara adalah bukti keyakinan terhadap kedudukan ekonomi negara, dan dasar ekonomi kerajaan BN yang berkesan.

Setakat 19 April lalu, aliran masuk dana asing dikatakan mencecah rekod tertinggi satu tahun iaitu RM429.80 juta, manakala bank pusat berkata rizab AS$110 bilion lebih tinggi berbanding AS$107.8 bilion pada 30 Mac, 2018.

Kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar jangka pendek.

Namun di sebalik angka-angka itu, pakar ekonomi Profesor Dr Jomo KS mempunyai pandangan yang berbeza.

“Angka-angka juga menunjukkan segelintir orang kaya yang dapat isi lemaknya, sedangkan tulang dan bulu jatuh kepada golongan lain,” katanya.

Menghuraikan kenyataannya, Jomo berkata kenaikan rizab negara adalah kerana nilai matawang ringgit telah merosot.

Bagi nilai ringgit yang sekarang semakin kukuh di sekitar RM3.9 berbanding setiap dolar Amerika Syarikat, kata pakar ekonomi itu, kemajuan bukan kerana pengurusan negara yang baik, tapi akibat kenaikan harga minyak petroleum dan kelapa sawit.

Apakah prestasi ekonomi Malaysia lebih baik sejak PU13?

Ekonomi Malaysia telah tumbuh pesat menurut angka rasmi. Tetapi angka-angka juga menunjukkan segelintir orang kaya yang dapat isi lemaknya, sedangkan tulang dan bulu jatuh kepada golongan lain.

Angka rasmi juga memberi gambaran ketaksamaan makin berkurangan, tetapi itu kerana pekerja asing tidak diambilkira.

Betulkah pekerja asing penting bagi ekonomi Malaysia?

Penduduk Malaysia sekarang berjumlah di sekitar 32 juta, dan tenaga kerja melebihi 15 juta. Pekerja asing lebih kurang 7 juta menurut syarikat telefon, sedangkan hanya 2.2 juta rasmi.

Maka, pendapatan purata sebenar jauh lebih kurang dari apa yang dilaporkan kerana kerajaan menafikan adanya kebanyakan pekerja pertanian dan pembinaan dari luar negeri. Ramai juga pekerja asing dalam perkhidmatan dan kilang.

Ada pihak yang mengaku pasaran saham juga telah melambung tinggi?

Sebenarnya, harga saham mencerminkan pandangan pelabur terhadap masa depan harga saham berkenaan, bukan keadaan ekonomi sebenar. Walau macam mana pun, paras harga BSKL pada tahun 2017 lebih kurang sama dengan 2013.

Ringgit Malaysia telah bertambah kuat dewasa ini?

Kadar pertukaran ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS$) lebih kurang RM3.2/AS$1 pada 2013. Paras terendah pada tahun 2017 melebihi RM4.4!

Sekarang di sekitar RM3.9. Kemajuan bukan kerana pengurusan yang baik, tapi akibat kenaikan harga minyak petroleum dan kelapa sawit.

Tetapi rizab Malaysia telah meningkat.

Sebenarnya, tidak. Rizab Malaysia sebanyak AS$116 bilon pada 2008, sebelum Datuk Seri Najib Razak jadi menteri kewangan, telah jatuh kepada AS$102 bilion pada 2017. Tetapi oleh kerana nilai matawang ringgit telah merosot, ada yang mengaku bahawa rizab negara meningkat!

Tetapi kerajaan telah janji mengimbangi Belanjawan.

Janji ini janji lama, yang telah ditangguh-tangguhkan hampir setiap tahun dalam dekad yang lalu. Sebenarnya, perbelanjaan pada tahun 2017 jauh lebih tinggi – hampir RM9 bilion – daripada apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2018 yang disampaikan pada Oktober 2017.

Dengan itu, defisit Belanjawan – atau kekurangan perbelanjaan dibanding dengan hasil – bagi tahun 2017 meningkat, seolah-olah kementerian kewangan tidak mampu menganggarkan perbelanjaan kerajaan.

Kali terakhir, kerajaan Malaysia mengimbangi Belanjawan ialah pada tahun 1990an sebelum tahun 1998, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi PM, dan Datuk Seri Anwar, timbalannya di samping adalah menteri kewangan.

Bagaimana pula dengan hutang negara?

Hutang negara telah meningkat daripada RM306 bilion pada tahun 2008 kepada RM685 bilion pada 2017 – lebih dari dua kali ganda!

Selain itu, apa yang dikatakan hutang yang dijamin kerajaan telah meningkat dengan amat pesat daripada RM69 bilion pada tahun 2008 kepada RM227 bilion pada 2017 – lebih dari tiga kali ganda!

Apakah Malaysia akan jadi bankrap atau muflis?

Sebenarnya, sebuah kerajaan tidak boleh jadi bankrupt di sisi undang-undang. Yang menjadi masalah ialah apabila kerajaan tiada cukup pendapatan atau simpanan untuk menjelaskan hutangnya.

Hutang dalam negeri lebih mudah dijelaskan dengan ‘mencetak wang’, yang boleh menyebabkan inflasi. Tetapi hutang luar negara tak dapat diselesaikan demikian, misalnya ketika kerajaan terlambat menyelesaikan hutang 1MDB, yang dijaminnya, pada tahun lalu.

Hutang peribadi atau isirumah bagaimana?

Rakyat Malaysia menanggung hutang paling tinggi di dunia secara relatif, secara purata di sekitar 84 peratus daripada pendapatan negara tahunan, menurut Bank Negara. Maka, sebenarnya, rakyat Malaysia banyak membayar bunga walaupun kadangkala disamarkan untuk umat Islam.

Ini tidak termasuk lagi hutang ‘tidak rasmi’ orang susah, yang ramai hutang keliling pinggang kepada along moden yang mengenakan kadar bunga amat tinggi.

Tetapi sudah tentu pendapatan dan kebajikan orang ramai telah meningkat.

Dasar gaji minimum dan BR1M telah meningkatkan pendapatan orang ramai. Kedua-duanya, iaitu termasuk bantuan untuk orang yang hidup susah, yang baru dinamakan BR1M, sudah lama dituntut parti pembangkang.

Tetapi tidakkah Pakatan Harapan menentang gaji minimum dan BR1M atas sebab politik?

Dari apa yang saya baca dan dengar, HARAPAN menyokong dan janji akan meneruskan, malah menambahkan usaha demikian. Yang menjadi masalah, usaha baik demikian, yang hanya baru disokong dan dilaksanakan oleh PM, telah dijadikan dedak atau umpan undi politik menjelang PRU14.
Cogankata ‘Satu Malaysia’, yang disokong semua, juga disalahgunakan untuk menutup penipuan besar-besaran yang melibatkan puluhan bilion ringgit melalui salah satu syarikat kaitan kerajaan, atau GLC, yang dinamakan 1MDB.

Apa pula hubungan soal 1MDB dengan pengurusan ekonomi yang baik?

Sebenarnya, penipuan 1MDB bukan cerita baru. Pada tahun 1960an, beberapa bank tempatan terpaksa diselamatkan. Skandal Bank Rakyat pada tahun 1970an memberi kesan besar terhadap politik negara, terutamanya setelah Tun Razak meninggal.

Pada awal tahun 1980an, pembunuhan Jalil Ibrahim di Hongkong semasa menyiasat skandal BMF, anak syarikat Bank Bumiputera, telah mengejutkan masyarakat. Arwah Tan Sri Ahmad Noordin dan YB Lim Kit Siang telah main peranan besar membongkar skandal itu.

Itu cerita dulu.

Pada ketika ini, ada beberapa skandal lain, seperti yang melibatkan Felda Global Ventures (FGV), yang menyusahkan lebih dari seratus ribu keluarga peneroka Felda. Ataupun hadiah diraja Saudi sebanyak RM2.8 bilion, yang pernah dikaitkan dengan penyertaan Malaysia dalam pasukan tentera 40 negara pimpinan Saudi yang masih sedang menyerang Yemen.

1MDB pula melibatkan jumlah besar yang sukar diduga, dikatakan RM54 bilion mengikut satu anggaran. Ini merupakan kes penipuan jumlah yang paling besar di dunia. Akibatnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pegawai tinggi yang dikatakan sedang menyiasatnya telah diganti.

Ini soal undang-undang jenayah dan politik. Apa pula implikasi ekonominya?

Selain implikasi jenayah penipuan-penipuan besar yang terlibat, saya cukup bimbang bahawa kerugian terlibat boleh meningkat lagi dengan pendekatan kerajaan sekarang. Negara-negara lain telah menyiasat dan ada yang mengambil tindakan, malah telah menghukum pihak yang terlibat.

Jabatan Pendakwaraya (DoJ) Amerika Syarikat telah menerbitkan dua laporan penuh dengan tuduhan, dan dikatakan tidak mahu menemui majikan 1MDB yang dianggap mereka terus terlibat dalam usaha menutupkan jenayah penipuan.

Adakah kerugian pada ekonomi kita?

Menurut Kleptocracy Assets Recovery Act, mereka berhak simpan 25 peratus dari segala yang diperolehinya, seperti rumah mewah, harta tanah, lukisan mahal, syarikat perfileman anak tiri PM, Reza Aziz, dan mungkin kapal mewah Equanimity yang dikatakan milik syarikat Jho Low. Pelakon Leonardo di Caprio dan Miranda Kerr telah pun menyerahkan hadiah daripada Low dan Reza kepada DoJ.

Apakah kerajaan lain dapat simpan semua harta yang dirampas mereka kerana kerajaan Malaysia terus menafikan bahawa jenayah telah berlaku atau Jho Low terlibat? Dan berapa pula yang dibelanja dan dibazir dalam usaha menutup skandal jenayah ini, misalnya dengan menjual harta kerajaan dengan harga murah untuk mengumpulkan dana bagi menyelesaikan hutang 1MDB.

Apa pula kesan GST terhadap rakyat?

Beban utama GST jatuh kepada rakyat jelata, mereka yang tidak peroleh pendapatan tinggi dan tidak bayar cukai Pendapatan, kerana beban SST sebelumnya lebih kepada mereka yang kaya serta golongan menengah atasan.

Itulah sebabnya GST dianggap cukai yang regresif atau lebih tidak adil kesannya, iaitu lebih tidak adil, lebih zalim.

Tetapi sudah tentu hasil cukai tambahan perlu untuk elakkan krisis belanjawan atau fiskal?

Sebenarnya, banyak subsidi lain ditarik balik, sedangkan orang kaya serta syarikat besar dikecualikan cukai. Satu tinjauan dulu pernah dapati bahawa separuh daripada pemilik kereta mewah tak bayar cukai pendapatan!

Dua persoalan timbul: Pertama, apakah semua perbelanjaan Kerajaan sekarang perlu untuk ekonomi dan rakyat? Dan kedua, kalau lebih banyak hasil cukai perlu, siapa yang patut tanggung beban utamanya?

Maka, defisit akibat penghapusan GST dapat ditutup dengan banyak cara. Pertama, dengan mengurangkan perbelanjaan, seperti pembelian senjata yang tak perlu atau projek yang bukan-bukan untuk memperkayakan syarikat kroni pihak berkuasa.

Arwah Prof Ismail Muhd Salleh pernah menunjukkan bahawa kesan sistem cukai di Malaysia tidak adil.

Kedua, dengan mengenakan cukai yang lebih adil dan saksama, misalnya cukai terhadap beberapa jenis harta kekayaan.

Maka, sama ada dari segi pencukaian atau pun perbelanjaan, Belanjawan makin tak adil, terutama sekali bagi orang ramai kerana orang kaya serta syarikat mereka dikecualikan daripada cukai.


PROFESOR DR JOMO KS adalah ahli ekonomi Malaysia.

Harapkan pegar, pegar makan padi - pakar ekonomi
Harapkan pegar, pegar makan padi II - pakar ekonomi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS