Anggota penguatkuasa hari ini bertindak memotong gambar Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dari papan iklan gergasi di kawasan Parlimen Ayer Hitam.
"Kami diberitahu bahawa papan iklan kami tidak boleh mempunyai gambar Mahathir dan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya adalah supaya gambar Mahathir dipotong," kata calon HARAPAN, Liew Chin Tong.
Pengerusi DAP Johor itu berkata SPR juga mengarahkannya supaya mengeluarkan atau tidak menaikkan semua poster, sepanduk atau kain rentang yang menampilkan gambar Mahathir.
Sekitar tengah hari tadi, beberapa anggota penguat kuasa yang memakai jaket keselamatan berwarna kuning tiba di Jalan Utama 1 di Yong Peng, lokasi papan iklan itu.
Ia menampilkan foto Dr Mahathir dengan Liew serta calon DAP kerusi DUN Yong Peng, Chew Peck Choo.
Anggota itu kemudian bertindak memotong gambar Mahathir dengan disaksikan oleh Liew dan penyokongnya.
Menurut garis panduan baru SPR, seseorang calon hanya boleh menampilkan gambar dua pemimpin parti politik - presiden dan timbalan presiden, atau mereka yang setaraf - pada bahan kempen, selain foto calon berkenaan.
Bagi kedua-dua pemimpin kanan itu pula, mereka mestilah dari parti yang diwakili oleh calon tersebut. Foto pemimpin lain dilarang sama sekali.
Bagaimanapun, Liew menolak syarat baru SPR itu sebagai mengarut dan tidak masuk akal.
"Kenapa kita tidak boleh letak gambar Mahathir? Dia adalah calon perdana menteri Pakatan Harapan," katanya.
Sementara itu, anggota penguatkuasa juga dilaporkan menurunkan satu lagi papan iklan Liew di Jalan Besar di Yong Peng.
Papan iklan itu membawa mesej undi untuk calon MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam adalah sama dengan undi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
SPR sebelum ini mengarahkan papan iklan itu diturunkan atas alasan Rosmah bukan calon pilihan raya.
DAP kemudian bertindak memotong mengeluarkan gambar Rosmah.
Walau bagaimanapun, anggota penguatkuasa hari ini bertindak menurunkan poster berkenaan meskipun terdapat ruang kosong akibat gambar Rosmah yang sudah dikeluarkan.