PRU14 | Selepas Nik Omar Nik Abdul Aziz disahkan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) seorang Naib Presiden PAS membuat pendedahan sangat menarik semalam.
Menurut Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebelum hari penamaan calon pada 28 April laluDatuk Seri Abdul Hadi Awang ada menghubunginya.
Kata Mohd Amar, presiden PAS itu bercerita bahawa dia bermimpi melihat bapa Nik Omar, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, hadir dalam keadaan tempang.
Justeru, Mohd Amar yang juga calon untuk kerusi dewan undangan negeri Panchor membayangkan gambaran yang muncul dalam tidur Abdul Hadi itu ada kaitan dengan keputusan Nik Omar, 53, meninggalkan PAS untuk bersama HARAPAN.
Berdasarkan klip video yang dimuat naik Mohd Amar di Facebook, beliau pada awalnya kelihatan teragak-agak untuk mengkisahkan butiran perbincangannya dengan Abdul Hadi.
Namun kedengaran suara orang lain yang berpendapat tidak ada salahnya Mohd Amar bercerita mengenai mimpi Abdul Hadi berkenaan.
Jangan rasa waswas
"Sewaktu saya berbincang dengan tuan guru (Abdul Hadi) tentang calon di Pengkalan Chepa, secara khusus tuan guru sebut (bahawa) dia bermimpi bertemu dengan arwah Tok Guru Nik Aziz.
"Tok Guru Nik Aziz datang berjumpa dia dengan kaki sebelah. Kaki sebelah sahaja Tok Guru, lepas tu orang tolak, orang lontar, orang buat macam-macam. Hampir nak rebah.
"Jadi, hari ini makna mimpi tu nampaklah pada kita (bahawa) orang yang berlawan dengan kita ni (Nik Omar), datang dari kaki sebelah (yang tiada pada Nik Aziz).
"Jadi, sebab itulah kena jaga. Jagalah Pengkalan Chepa ini macam mana sekali pun, walaupun yang bertanding melawan kita ini (daripada ahli) keluarga tok guru, (tapi) kita letak sokongan kita kepada perjuangan Islam.
"Itu yang paling besar. Kita tidak hirau siapa dia. Jangan fikir kerana dia anak tok guru, keluarga tok guru menyebabkan kita jadi was-was," katanya.
Nik Omar adalah anak kedua daripada 10 zuriat Nik Abdul Aziz bersama Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Asalnya mudir sekolah agama itu tidak pernah menonjol dalam politik sehinggalah selepas kumpulan aliran sederhana dalam PAS disingkirkan perwakilan parti itu semasa muktamar 2015.
Walaupun berada di sebalik tabir, Nik Omar akhirnya menyertai PRU ke-14 sebagai calon HARAPAN bagi kerusi yang sebelum ini disandang arwah bapanya, Chempaka.
Mimpi jumpa nabi pun ada
Chempaka terletak di dalam parlimen Pengkalan Chepa. Kawasan itu memang menjadi satu daripada kubu paling kuat PAS.
Selain Chempaka, DUN yang ada di bawah Pengkalan Chepa ialah Panchor dan Kijang.
Seorang lagi anak Nik Abdul Aziz yang menyertai PRU ke-14 ialah adik Nik Abduh yang diutus PAS bertanding di Bachok.
Turut kelihatan hadir semasa Mohd Amar bercerita mengenai mimpi Abdul Hadi itu ialahpelakon terkenal, Mustapha Kamal.
Kata Mohd Amar sesiapa saja yang mengambil pendirian bercanggah dengan perjuangan diyakini PAS, maka mereka adalah lawan mereka.
"Jadi yang tu kena kunci kemas (faham betul-betul) terutama kita yang berada di Chempaka.
"Jangan kita duduk fikir, balik tidak lena - macam mana ni, ni Nik ni?
"Nik tak Nik pun, kali ini kalau tidak PAS, kita tolak belaka insya-Allah," katanya.
Untuk rekod insiden mimpi dan PAS bukan sesuatu yang sangat luar biasa.
Pada 2009 orang ramai dikejutkan dengan kisah Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang yang dikenali sebagai Balakirsnan bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.
Pandangan mufti Perlis
Pengalaman mimpi itu disampaikan kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara itu seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik turut mendakwa pernah bermimpi bertemu Rasulullah.
Beliau juga pernah dilaporkan mendakwa bermimpi bertemu Sayidina Umar al-Khattab banyak kali ketika dia ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak sebelum ini.
Sementara itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyentuh mengenai isu mimpi di Facebooknya hari ini.
"Ali bin Abi Talib bertempur tanpa jangkaan dengan pasukan Aishah RA dalam Perang Jamal. Demikian juga Ali bertempur dengan Muawiyah dan 'Amr al-'As dalam Perang Siffin.
"Namun, tidak pernah siapa pun dalam kalangan mereka - sekali pun mereka sahabat nabi yang rapat - menggunakan nama Nabi SAW untuk menghukum kufur atau sesat ataupun musuh Islam kepada pihak yang berlawanan dengan mereka dalam isu-isu yang terbabit.
"Tidaklah pula pernah mereka menggunakan alasan mimpi berjumpa nabi bagi berhujah menentang pihak yang berbeza. Padahal orang seperti Aishah yang merupakan isteri nabi jika dia berkata dia bermimpi berjumpa Nabi dan baginda menyatakan siapakah antara mereka di pihak yang benar, pasti tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.
"Hal itu tidak pernah mereka lakukan. Tidak Aishah, tidak Ali, tidak Talhah dan tidak Al-Zubair," katanya.