PRU14 | PAS Kelantan tetap yakin kerusi dewan undangan negeri Chempaka yang cuba diambil oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU ke-14 ini akan kekal dengan status quo.
Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata Chempaka akan tetap menjadi kubu kuat PAS walaupun HARAPAN menurunkan anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai calonnya.
Malah kata Che Abdullah, PAS tidak nampak Nik Omar boleh membawa pengaruh Nik Aziz di Chempaka.
"Chempaka tetap kubu PAS. Kita tak nampak dia (Nik Omar) boleh membawa pengaruh arwah bapanya kerana beliau memberi nasihat di akhir hayat, memberi nasihat cukup jelas ketika hayatnya (supaya kekal bersama PAS).
"Itu daripada mulut Tok Guru ketika masih hidup.
"Jadi sesiapa yang nak ambil pendirian bertentangan dengan apa yang dinasihatkan Tok Guru saya rasa tidak akan berjaya," ujarnya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.
HARAPAN mencaturkan gerakan serius dalam usaha mereka mengetepikan PAS dari Wisma Darul Naim untuk kali pertama sejak 1990.
Kemunculan Nik Omar sendiri sedikit sebanyak memberi kejutan kepada orang ramai kerana adiknya, Nik Abduh, dikenali sebagai ayam tambatan PAS yang beristiqamah mengecam HARAPAN.
Nik Omar dicalonkan bagi merebut kerusi Chempaka daripada penyandangnya Ahmad Fathan Mahmood, yang memenangi kerusi itu melalui pilihan raya kecil pada 2015.
Sementara itu Che Abdullah berkata PAS berpendapat Nik Omar bertanding di Chempaka tanpa mendapat restu daripada ibunya.
Kata calon PAS bagi parlimen Tumpat itu berkata sehingga ke hari penamaan calon Nik Omar tidak menyatakan secara jelas dia sudah mendapat restu daripada ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak atau tidak.
Che Abdullah berkata pengetua Maahad Darul Anwar itu sebelum ini ada menyebut bahawa hasratnya untuk menyertai AMANAH dan bertanding bagi pihak HARAPAN belum mendapat restu.
"Tidak ada lagi kenyataan (Nik Omar) selepas itu yang mengatakan adanya restu.
"Kita berpandangan bahawa tidak ada restu (daripada ibu Nik Omar) dan difahamkan beliau hilang dari rumah sehari dua sebelum penamaan calon," katanya.