Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suka duka nak jadi calon
Diterbitkan:  Apr 28, 2018 1:56 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

PRU14 | Hari penamaan calon 'ibu segala pilihan raya' dipenuhi kejadian aneh melibatkan calon.

Ada yang terlupa membawa kad pengenalan dan pas calon, ada juga yang gagal menukar alamat di kad pengenalan mereka.

Di Parlimen Wangsa Maju, calon PKR Datin Paduka Tan Yee Kew terlupa membawa MyKad dan tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Tan kemudian dibenarkan masuk selepas menunjukkan salinan MyKad menerusi telefonnya namun status pencalonannya kekal menjadi tanda tanya.

Ia mencetuskan kekalutan dan PKR membawa anggotanya P Ganapathy selaku calon simpanan.

Selepas soal teknikal tersebut selesai, PKR menghela nafas lega apabila pegawai pengurus pilihan raya akhirnya berkata Tan (gambar) boleh bertanding menggunakan salinan MyKadnya.

Kekalutan serupa turut berlaku di Parlimen Bandar Tun Razak apabila calon BN Adnan Abu Seman terlupa menyertakan watikah pelantikan BN bersama kertas pencalonannya.

Adnan dilihat membuat panggilan telefon untuk menangani masalah itu dan ia akhirnya berjaya diselesaikan.

Di DUN Bukit Melawati di Selangor, calon PKR G Sivamalar mengalami masalah berbeza iaitu tidak menukar alamat di MyKadnya.

Calon perlu memiliki alamat di negeri tempatnya bertanding. MyKad Sivamalar menggunakan alamat Pahang.

PKR kemudian menggunakan "Pelan B", iaitu membawa calon simpanannya Juwariyah Zulkifli. Pencalonannya diterima.

Di DUN Ketari di Pahang, calon Gerakan Lau Hoi Keong berhadapan masalah sama.

Kekecohan tercetus apabila calon DAP mendesak beliau menunjukkan MyKadnya bagi membuktikan alamatnya di negeri itu,

Ia menyebabkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob masuk campur.

Pegawai pengurus pilihan raya kemudian berkata beliau berpuas hati dengan dokumentasi Lau dan mengumumkan Lau sebagai calon.

Di Parlimen Bukit Katil di Melaka, calon PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang tidak muncul-muncul menimbulkan keresahan kepada PKR.

Rupa-rupanya Shamsul berada di pusat penamaan calon lain, untuk menghantar kertas pencalonan di DUN Rim yang terletak di kawasan parlimen berbeza.

Beliau menghantar wakil bagi mengisi kertas pencalonan bagi kerusi Parlimen Bukit Katil.

Di Parlimen Batu Pahat di Johor, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi (gambar) tidak hadir ke pusat penamaan calon walaupun sebelum ini membayangkan beliau akan bertanding bebas selepas digugurkan daripada senarai calon BN.

Di Parlimen Bagan Datok, "Raja Bomoh" Datuk Ibrahim Mat Zin tidak memunculkan dirinya, walaupun sebelum ini berkata akan bertanding sebagai calon bebas di sana.

Ibrahim mengumumkan menarik diri dalam satu hantaran di Facebook lewat malam semalam.

Beliau berkata mahu memberi peluang kepada calon lain dan hanya akan menimbang untuk bertanding pada PRU ke-15 jika wakil yang terpilih tidak menggalas tanggungjawab dengan baik.

Selain Ibrahim, sekurang-kurangnya empat lagi calon tidak dapat bertanding pada PRU ini ekoran diisytiharkan muflis.

Mereka adalah calon PAS untuk DUN Subang Jaya Mohamad Badri Abd Rahman serta tiga calon HARAPAN iaitu Fizi Jihat (DUN Bukit Pasir), Dr Mohd Hafidz Rizal Amran (DUN Kuala Balah) dan Yaakob Osman (DUN Penaga).

Yaakob bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa semakan menunjukkan dirinya tidak muflis.

“Tiada isu dan saya tidak pernah disaman oleh sesiapa pun atau diisytihar muflis. SPR sudah memutuskannya, tiada apa oleh dibuat,” katanya seperti dipetik The Star Online.
Ikuti kemas kini secara langsung Malaysiakini di sini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS