Kerajaan memandang serius dakwaan yang dibuat Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kemungkinan penerbangan beliau ke Langkawi hari ini disabotaj.
Menteri pengangkutan sementara Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) untuk menjalankan siasatan serta merta.
"Ini suatu tuduhan serius, kami menanggapinya dengan serius.
"Pada masa yang sama, kami harap ini juga bukan gimik politik (political stunts).
"Ini bukan perkara yang boleh digunakan untuk eksploitasi politik," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.
Liow berkata kapten pesawat itu dan pemiliknya akan dipanggil untuk memberi keterangan.
"Ini adalah perkara serius mengenai keselamatan penerbangan dan kami tidak mahu sesiapa mempunyai keraguan terhadap standard dan syarat-syarat pematuhan kami," katanya.
Liow berkata tiada laporan dibuat juruterbang tersebut setakat ini.
Petang tadi Dr Mahathir dalam suatu majlis minum petang di Langkawi mendakwa pesawat peribadi yang disewa khas beliau telah disabotaj oleh pihak tertentu.
Sebelum itu, Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali berada di Lapangan Terbang Subang dan sudah menaiki pesawat tersebut untuk menuju ke Langkawi bagaimanapun telah dimaklumkan oleh juruterbang bahawa sistem pesawat itu tidak berfungsi.
Menurut Dr Mahathir, juruterbang memaklumkan kepadanya kerosakan tersebut tidak dapat dibaiki dalam masa yang singkat menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meminjam pesawat daripada rakannya bagi meneruskan perjalanan ke Langkawi.