PRU14 | Bekas wakil rakyat PKR Gan Pei Nei akan menjawab tuduhan surat layang terhadapnya, yang sudah tersebar di media sosial, selepas pilihan raya umum.
"Saya akan kembali! Bukan tidak mahu jawab lebih awal, tetapi saya bimbang ia akan menjejaskan momentum ke arah perubahan jika isu ini terus tersebar.
"Selepas mendengar nasihat, saya memutuskan untuk (tidak menjawabnya) buat sementara waktu dan terus fokus terhadap PRU. Selepas itu, saya akan beri jawapan berserta bukti dan dokumen," katanya di Facebook hari ini.
Lebih penting, katanya lagi, beliau tidak mahu isu ini menjejaskan kepentingan yang lebih besar iaitu menumbangkan BN.
"Saya harap semua orang dapat memahaminya," katanya lagi.
Beliau yang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang selama dua penggal, bermula 2008, tidak dicalonkan semula pada PRU ini.
Dalam sidang media penuh emosi 23 April lalu, Gan berkata beliau sendiri menjangka akan digugurkan ekoran surat layang itu yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan kawasan.
Gan mendakwa dalang surat itu adalah orang dalam PKR sendiri yang mahu bertanding di Rawang.
Beliau juga mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan itu.
PKR mencalonkan Timbalan Pengarah Strategi Pemuda PKR Chua Wei Kiat di kerusi DUN itu.
Tinjauan Malaysiakini mendapati pertukaran itu menimbulkan rasa tidak puas hati pengundi di sana, terutama di kalangan masyarakat Cina.
Rawang adalah kerusi majoriti yang dahulunya pernah menjadi kubu MCA sebelum dirampas PKR pada PRU 2008.