PRU14 l Akhirnya teka-teki yang menyelubungi calon "bertenaga" dijanjikan PAS untuk mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad serta BN di Langkawi berakhir hari ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi berkata wakil yang akan diturunkan bagi mewakili Gagasan Sejahtera ialah Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad.
Ditemui media di Kota Sarang Semut hari ini Ahmad Fakhruddin berkata keputusan itu diambil selepas rakan mereka dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Rakyat Malaysia (IKATAN) tidak bersedia menurunkan calon di Langkawi.
Sementara itu dalam perkembangan lain Ahmad Fakhruddin mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Jerai, Sabri Azit, dipilih menggantikan Mohamad Ismail sebagai calon mereka di kerusi parlimen Jerai.
Bagi menjelaskan pertukaran itu Ahmad Fakhruddin berkata, ada alasan "teknikal perundangan" yang memerlukan mereka bertindak demikian.
Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Gagasan Sejahtera akan meletakkan calon yang "bertenaga" dan kuat bagi memberi cabaran di pulau pelancongan dan dikenang sebagai tempat berlakunya tragedi Mahsuri.
Dr Mahathir - yang banyak memberi sumbangan memajukan pulau itu menjadi terkenal - bertanding mewakili Pakatan Harapan dan berdepan dengan penyandang, Datuk Nawawi Ahmad.
Pada PRU ke-13 lalu Nawawi menang di Langkawi dengan kelebihan 11,861 undi mengetepikan cabaran wakil PKR, Ahmad Abdullah.
Zubir, 55, ialah seorang usahawan makanan laut dan bukan orang baru dalam persaingan pilihan raya. Dia pernah menyertai tiga PRU dengan kali terakhir menjadi calon di kawasan dewan undangan negeri Ayer Hangat.
Bagaimanapun Zubir kalah dengan kekurangan 5,311 undi berbanding calon BN, Mohd Rawi Abd Hamid. Zubir mendapat 5,855 undi.