Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 l Walaupun tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum penamaan calon, PKR hari ini membuat keputusan untuk menukar calon mereka di Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Kota Anggerik.

Menurut sumber parti itu, PKR sebelum ini menamakan Naib Presidennya, Shaharuddin Badaruddin di kerusi DUN Kota Anggerik manakala di Seri Setia pula ialah anggota AMK Najwan Halimi.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bertukar tempat dengan Najwan kini merupakan calon bagi kerusi Kota Anggerik dan Shaharuddin calon untuk DUN Seri Setia, kata sumber berkenaan.

Kata sumber itu lagi, penukaran kerusi di antara dua calon itu dibuat pada pagi ini atas arahan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Mereka tukar kerusi. Tiba-tiba pagi tadi masa salah seorang daripada mereka ambil watikah, presiden minta tukar," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Ketika ditanya mengapa calon bagi kedua-dua kerusi itu ditukar, sumber itu berkata tiada sebab khusus namun difahamkan, ia merupakan permintaan Shaharuddin.

"Dia (Shaharuddin) yang minta tukar," kata sumber itu lagi.

Pertukaran itu turut disahkan melalui kenyataan di Facebook Shahruddin hari ini. 

"Dengan ini secara rasmi Prof Dr Shaharuddin Badaruddin telah mendapat mandat oleh pimpinan PKR sebagai calon untuk DUN N32 Seri Setia.

"Kita akan meneruskan kemenangan Pakatan Harapan di Selangor dan memastikan Putrajaya menjadi milik kita," kata kenyataan itu.

Shaharuddin merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara Najwan yang merupakan calon muda mewakili PKR pula pernah menjadi setiausaha akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Beliau juga pernah bekerja untuk penyandang ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini bertanding di Parlimen Setiawangsa.

Nik Nazmi menjadi ADUN di Seri Setia selama dua penggal.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, Nik Nazmi memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 4,663 undi mengalahkan calon BN.

Pada PRU kali ini, Shaharuddin akan berdepan dengan calon BN Yusoff M Haniff dan PAS, Mohd Ghazali Daud.

Di Kota Anggerik pula, Najwan akan berdepan dengan wakil PAS yang merupakan pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan calon BN Jumaeyah Masdi.

Pada PRU ke-13, kerusi DUN Kota Anggerik disandang oleh Yaakob Sapari yang mendapat undi majoriti sebanyak 4,503.

Yaakob menjadi penyandang kerusi itu sebanyak dua penggal. Namun bagi pilihan raya umum kali ini, nama beliau digugurkan.

Kedua-dua kerusi, Seri Setia dan Kota Anggerik merupakan kerusi majoriti Melayu.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS