Ketua Umno Batu Pahat Datuk Dr Puad Zarkashi dijangka mengumumkan langkah yang akan diambil dalam politik selepas namanya 'tercicir' daripada pilihan pucuk pimpinan parti menjadi calon pilihan raya umum (PRU).
Menurut FMT ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu akan mengadakan sidang media mengenai isu berkenaan esok. Bagaimanapun lokasi sidang media itu belum ditetapkan.
"Saya tidak mahu mengulas sekarang. Tunggu Khamis, saya akan buat pengumuman rasmi," katanya.
Puad yang pernah dilantik sebagai timbalan menteri dan kini masih menjadi anggota Majlis Tertinggi Umno juga menjelaskan beliau belum membuat keputusan sama ada akan mengadakan sidang media itu di Batu Pahat atau Kuala Lumpur.
"Saya akan umum esok," katanya.
Nama Puad tiada dalam senarai yang diumumkan BN bagi mempertahankan kerusi Batu Pahat yang pernah dimenanginya sebelum ini.
Sebaliknya Umno memilih ketua wanita bahagian itu Haliza Abdullah sebagai peraturan mereka bagi merampas semula kerusi berkenaan yang dimenangi PKR pada PRU ke-13 lalu.
Ekoran langkah diambil Umno itu timbul spekulasi Puad akan meletakkan jawatannya di JASA sebelum bertanding sebagai calon bebas.
Nama Puad juga disebut-sebut akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri Senggarang.
JASA ialah sebuah jabatan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang gigih mempertahankan kerajaan.
Puad sendiri aktif membuat kenyataan menyerang pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN), termasuk bekas presiden Umno sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada April lalu Puad menggunakan alasan kesihatan Dr Mahathir untuk mempersoalkan kemampuan pengerusi HARAPAN berkenaan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi jika mereka berjaya menawan Putrajaya.
“Dakwaan Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa Dr Mahathir telah dimasukkan (ke) Institut Jantung Negara (IJN) sebanyak 47 kali dalam tempoh 39 bulan pastinya menimbulkan keraguan terhadap kemampuannya untuk menjadi perdana menteri yang ketujuh,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada di Batu Pahat hari ini namun tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan bertemu Puad bagi menyelesaikan rasa tidak puas hati yang timbul.