Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin dan Ezam pun 'kembali bertaut'
Diterbitkan:  Apr 25, 2018 1:35 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Dua minggu sebelum pilihan raya umum ke-14, dua pesaing lama Datuk Seri Azmin Ali dan bekas senator Datuk Ezam Mohd Noor “kembali bertaut”.

Exco sementara Selangor Amirudin Shari hari ini memuat naik gambar pertemuan kedua-dua bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu di Twitter hari ini.

“Bersatu dan berpadu - kembali bertaut,” tulis pemimpin muda PKR itu dengan tanda pagar #PilihBiruYangLebihMuda.

Pertemuan di Pejabat Menteri Besar di Shah Alam semalam itu turut dihadiri pemimpin PKR Khalid Jaafar.

Lebih menarik, ketiga-tiga mereka – Azmin, Ezam dan Khalid – merupakan bekas pegawai kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi timbalan perdana menteri.

Azmin ketika itu menjadi setiausaha sulit, Ezam setiausaha politik manakala Khalid pula setiausaha akhbar.

Ezam adalah ketua Pemuda pertama Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar nama kepada PKR) dan pesaing utama dalam karier politik Azmin.

Setelah perselisihan, Ezam keluar parti dan menubuhkan NGO antirasuah GERAK sebelum menyertai Umno ketika era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau dilantik menjadi senator.

Bagaimanapun pada 2016, Ezam keluar Umno buat kali kedua selepas menganggap parti itu bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi serius dalam perjuangan menentang rasuah.

Sementara itu, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang Datuk Mansor Othman juga turut serta dalam pertemuan hari ini.

Azmin mengulang tweet status dimuat naik Amirudin itu di laman sosialnya.

Sementara itu, Ezam ketika dihubungi Malaysiakini berkata Pertemuan telah di atur lama untuk beliau menyerahkan buku terbitan NGO beliau HISBAH bertajuk Al Ghulul - kecurian wang negara.

Katanya, beliau mengusulkan ia disebarkan dalam siri kempen Pakatan Harapan di Selangor.

Ditanya sama ada itu pertemuan itu menjadi tanda-tanda kembalinya beliau ke dalam PKR, Ezam menafikannya.

“Tiada dalam rancangan ke PKR atau mana-mana parti,” katanya.

Beliau juga berkata pertemuan dengan 'pesaing' lamanya itu tetap mesra.

“Kami pernah jadi rival (pesaing) dan kawan juga, makanya kemesraan mudah terjalin,” katanya.

Ezam bagaimanapun berkata sebagai anak jati Selangor, beliau mengambil kesempatan menyatakan dukungan kepada Azmin sebagai “MB Selangor yang berprestasi tinggi dan akan mendukung beliau pertingkat prestasi dan integriti.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS