Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Senarai calon BN bukti Taib Mahmud masih berpengaruh di S'wak'

PRU14 | Ketua Menteri paling lama Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud didakwa mempengaruhi senarai calon BN negeri itu pada pilihan raya kali ini.

Beliau menjadi ketua menteri selama 33 tahun, sejak 1981 hingga 2014, dan kini menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Anak perempuannya Datuk Hanifah Hajar Taib, 45, dicalonkan di kerusi Parlimen Mukah, menggantikan Tan Sri Dr Leo Muhammad Toyad.

Bercakap dengan Malaysiakini, penganalisis politik James Chin berkata Taib sememangnya masih mempunyai pengaruh.

"Daripada senarai calon, jelas bahawa Taib masih berpengaruh. Beliau boleh pastikan anaknya (gambar) dicalonkan walaupun menerima penentangan dalaman yang kuat," katanya.

Walaupun BN berjanji untuk menurunkan muka baru, katanya lagi, beberapa calon sudah pun menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengarah Institut Asia di University of Tasmania Australia itu berkata menarik untuk melihat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menonjolkan pemimpin utamanya dalam PRU ini.

"Pemimpin nombor satu dan dua serta ketua wanita bertanding kerusi Parlimen. Pemimpin nombor satu dan dua itu mungkin kelihatan tamak kerana sudah pun menjadi ADUN.

"Berkenaan Kho Teck Wan (calon SUPP di Bandar Kuching), anggota parti memberitahu saya beliau menjadi kambing hitam kerana Bandar Kuching adalah kerusi 'pasti kalah'.

"Pelik beliau sanggup memusnahkan kerjaya politiknya sebelum ia dapat bermula," katanya (gambar) sambil berkata Kho kemungkinan 'dipermainkan' oleh politik SUPP Kuching.

Penyandang Bandar Kuching adalah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen. Pada PRU 2013, beliau menewaskan Ketua Pemuda SUPP Tan Kai dengan majoriti 19,642 undi.

Bagi PRU ke-14, pembantu khas Chong, Dr Kelvin Yii akan berdepan dengan calon SUPP Kho Teck Wan di kerusi itu.

Chong yang menjadi wakil rakyat selama tiga penggal di sana akan berpindah ke Parlimen Stampin untuk melawan Presiden SUPP Datuk Sim Kui Hian.

Kedua-duanya ADUN di kawasan Parlimen itu, Chong di Kota Sentosa dan Sim di Batu Kawah.

BN bakal rampas Miri?

Perkara menarik lain dalam senarai calon BN Sarawak bagi Chin adalah UPP - parti serpihan SUPP - diberikan satu daripada tujuh daripada kerusi SUPP. 

"Tidak teruk sangat bagi parti yang diaibkan secara terbuka oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memaksa UPP menandatangani perjanjian damai dengan SUPP."

UPP telah bersetuju untuk menggunakan logo SUPP di Sibu. Di Sibu, parti itu mencalonkan anak presiden Datuk Seri Wong Soon Koh, Andrew Ong.

ADUN Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii memenangi kerusi beliau atas tiket BN sebagai calon langsung dan sejurus selepas itu, beliau menyertai SUPP. Beliau juga antara ADUN yang terpilih sebagai calon parlimen di Sarikei.

Di Parlimen Miri pula, Chin berkata pencalonan Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting (gambar) bukan hal mengejutkan memandangkan beliau menang di Piasau - salah satu DUN di parlimen itu - pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 dengan menewaskan penyandang dari DAP Alan Ling dengan kelebihan 2,112 undi.

"Sebastian adalah calon SUPP yang paling berpotensi menang. Tidak salah saya, beliau telah bersalam dengan semua warga Miri. Ini bukan jenaka," katanya.

Ahli akademik yang memang berasal dari Sarawak itu menjangka SUPP akan menang di Miri jika PKR mengekalkan penyandangnya Dr Michael Teo.

Pada PRU lalu Teo menang di Miri dengan majoriti 1,992 undi dalam pertembungan tiga penjuru berdepan Ting dan Parti Reformasi Negeri (STAR) Chong Kon Fatt.

Teo dijangka mempertahankan kerusi itu.

"Kecuali sesuatu yang luar biasa berlaku ketika kempen, saya menjangka status quo akan kekal walaupun dengan majoriti merosot oleh DAP.

"Di Sabah dan Sarawak, kita biasanya boleh meramal keputusan pada dua hari terakhir kempen," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS