Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sah Wan Azizah di Pandan, Nurul di Permatang Pauh
Diterbitkan:  Apr 24, 2018 12:52 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

PRU14 I Selepas mengharungi banyak drama, PKR akhirnya mengeluarkan senarai calon rasmi bagi pilihan raya umum ke-14 hari ini.

Senarai itu mengesahkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Pandan sementara anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar akan berpindah ke Permatang Pauh.

Penyandang kerusi parlimen Pandan ialah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang tidak akan bertanding kerana menghadapi kes mahkamah.

Nurul, yang merupakan anggota parlimen selama dua penggal di Lembah Pantai, akan menggantikan ibunya di Permatang Pauh, sebuah kerusi tradisi yang ditandingi anggota keluarganya selama beberapa dekad.

Bapanya yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1982.

Empat pemimpin PKR akan bertanding bagi kedua-dua kerusi parlimen dan negeri:

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali - Gombak (Parlimen); Bukit Antarabangsa (DUN)

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail - Kulim Bandar Bharu (Parlimen); Pantai Jerejak (DUN).

Datuk Johari Abdul - Sungai Petani (Parlimen) ; Gurun (DUN).

Shamsul Iskandar Mohd Akin - Hang Tuah Jaya (Parlimen); Rembia (DUN).

Sementara itu, PKR akan memindahkan Rashid Hasnon, timbalan ketua menteri sementara Pulau Pinang untuk bertanding di Batu Pahat, Johor.

Satu lagi nama besar yang muncul dalam senarai PKR di Johor ialah pengasas Masterskill Education Group Edmund Santhara, yang ditugaskan untuk menandingi Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam bagi kerusi parlimen Segamat.

Calon PKR untuk Sabah dan Sarawak tiada dalam senarai itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS