Seorang veteran PAS hari ini mengingatkan anak-anak pemimpin PAS supaya bukan sahaja tidak mempedulikan parti itu tetapi tidak menentang parti bapa masing-masing.
Menurut Subky Latif dalam tulisan terbarunya, ibu bapa masing-masing begitu sayang dan mati meninggalkan PAS, tiba-tiba anak cucu mereka tidak hormati apa yang mereka suka.
Sambil menceritakan bagaimana arwah abangnya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, bekas setiausaha agung PAS yang meninggal dunia pada awal 90-an, katanya pesan terakhirnya kepada cucunya adalah supaya jangan tinggalkan jamaah Islam.
“Abang saya tiada harta unuk diwasiatkan kepada anak dan cucunya. Yang ada dia meninggalkan jamaah Islam, PAS yang disertainya sejak muda hinggalah matinya.
“Sekalipun ia disampai kepada seorang cucu, tetapi ia pesan kepada semua. Mafhumnya hendak sentiasa bersama jamaah Islam hidup dan mati,” katanya seperti disiarkan Harakahdaily.
Subky yang pernah menjadi ketua pengarang Harakah serta anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata beliau kemudian mengingatkan anak-anaknya yang ramai bahawa bapa mereka adalah orang yang hadir pada penubuhan PAS tahun 1951.
“Ia satu penghormatan Allah kepadanya. Haji Yusof Rawa, TG (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat), Ustaz Fadzil Noor dan TG (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi (Awang) tidak dapat peluang itu.
“Maka wajarlah anak cucunya bersyukur dan memelihara rahmat bapanya.
“Lebih sejuta ahli PAS sekarang dan ribuan lagi yang menyokongnya hari ini adalah menyambut bangga akan wadah Islam yang bapa mereka ikut tubuhkan 67 tahun dulu. Wajar berada dan menyumbang apa yang ada pada wadah itu,” katanya.
Bagi bekas pengarang kanan Utusan Melayu itu, jika mereka tidak terdaya memberi apa-apa mereka dinasihatkan agar jangan jauhkan diri dari pusaka yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.
“Wajar diingatkan ramai anak-anak pemimpin PAS bukan saja tidak pedulikan PAS, sebaliknya menentang parti bapa masing-masing.
“Telah berlaku sejak dulu lagi Pesuruhjaya PAS Pahang 50-an dan 60-an, Datuk Abu Samah dan Dato Yassin’, anaknya jadi menteri Umno dan orang kuat Umno.
“Bukan asing anak-anak pembesar PAS meninggalkan PAS dan menentang PAS. Abang saya pernah tidak senang dengan pemimpin PAS dan dilucutkan jawatan parti, tetapi dia kekal dalam parti, kerana perbezaan adalah dengan pemimpin, ia tidak melayakkannya keluar PAS,” katanya.
Subky berkata, seorang pemimpin tinggi PAS tidak senang dengan seorang pemimpin lain yang terbilang pintarnya dan menulis surat kepadanya dan memaklumkan bahawa beliau getik dengan politiknya, tetapi pernah mendengar bapanya memuji ilmu dan kepintarannya.
Menurutnya, pemimpin itu tidak boleh terus membencinya kerana teringatkan sebuah hadis bermaksud, anak yang disukai Allah ialah yang memuliakan apa yang ibu bapanya suka dan fikir.
“Ibu bapa masing-masing sayang dan mati meninggalkan PAS, tiba-tiba anak cucu tidak hormati apa yang mereka suka. Takut jadi anak yang Nabi maksudkan itu.
“Jika tidak suka sesuatu pada parti, diam macam abang saya dulu. Bila berubah pimpinan, dia gembira bersama PAS hingga mati,” katanya.
Walaupun Subky dalam tulisannya tidak menyebut sebarang nama, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai anak bekas presiden dan pemimpin kanan PAS telah meninggalkan parti berkenaan dan menyertai parti serpihan, AMANAH.
Mereka termasuk Datuk Mujahid Mujahid Yusof Rawa, Faiz Fadzil dan Nik Omar Nik Aziz yang mahu bertanding atas tiket AMANAH tetapi dihalang oleh bondanya.