PRU14 | Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Seri Mohd Puad Zarkashi, yang tidak dilantik sebagai calon di Johor meskipun beliau salah seorang yang lantang membela Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau tetap tabah.
"Hari ini walaupun tidak dicalonkan semula tetap tabah ke 15 buah sekolah menyampaikan sumbangan RM6K kepada setiap Kelab Bilik Guru (KEBIRU)," kata kenyataan ringkas beliau pada hantaran Facebook hari ini.
Ini merupakan kenyataan pertama beliau sejak BN negeri mengumumkan senarai calon Johor hari ini.
Cubaan awal Malaysiakini menghubungi beliau bagi mendapatkan maklum balas digugurkan sebagai calon di Johor tidak berjaya.
Sebelum ini, terdapat ura-ura ahli majlis tertinggi Umno itu bakal bertanding kerusi parlimen Batu Pahat. Beliau ialah ketua bahagian Umno Batu Pahat.
Sebaliknya, BN meletakkan Ketua Wanita Bahagian Umno Batu Pahat, Haliza Abdullah, yang kali pertama bertanding di kerusi parlimen tersebut.
Desas-desus di kalangan penduduk tempatan menyebut Puad mungkin mempertimbangkan menjadi calon bebas di Parlimen Batu Pahat dan kerusi DUN Senggarang.
Sebagai ketua propaganda BN, Puad menjadi salah seorang yang lantang membela Perdana Menteri Najib dan parti pemerintah.
Beliau berkali-kali mengeluarkan kenyataan mempertahankan kontroversi 1MDB dan menentang pembangkang.