PRU14 l Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata pertemuannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam kerana tersebarnya "senarai calon" yang belum disahkan oleh parti.
"Saya hadir mesyuarat itu atas kebimbangan mengenai 'senarai calon' yang beredar yang tidak melalui proses aturan yang ditetapkan oleh parti.
"Ia mendatangkan kebimbangan dan ketidakpastian di kalangan anggota akar umbi parti," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Zuraida menafikan pertemuan itu bertujuan membuat perjanjian mengenai pemilihan calon di Selangor.
Beliau mengatakan mesyuarat itu turut melibatkan kepimpinan PKR dari negeri lain.
"Bersama saya pemimpin utama seperti Baru Bian dari Sarawak dan Mohd Nur Manuty dari Perak. Pertemuan itu bukan sekadar pimpinan dari Selangor.
"Saya terkejut dengan desas-desur berkenaan dan maklumat buruk yang diterbitkan mengenai mesyuarat itu," katanya.
Zuraida berkata perbincangan dengan Wan Azizah berjalan dengan baik dan konstruktif.
Semalam, dalaman PKR mula bergolak ekoran dakwaan Wan Azizah telah menukar senarai calon yang dicadangkan kepimpinan negeri.
Ketika bantahan mula disuarakan, muncul pula ura-ura Naib Presiden PKR, Tian Chua akan meletak jawatan.
Tian Chua kemudiannya mengulangi komitmen beliau terhadap PKR tetapi menggesa ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah, untuk tidak memilih kepentingan kelompok dalam memutuskan senarai calon parti itu.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang juga Pengerusi PKR Selangor, bertemu Anwar hari ini di Hospital Rehabilitasi Cheras, di mana beliau sedang mendapatkan rawatan daripada pembedahan bahunya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara dan hanya akan dibebaskan pada bulan Jun 2018 ini.