Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan Khamis, 26 April ini sebagai tarikh mendengar permohonan 16 anggota Umno yang memfailkan untuk kebenaran semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan Umno lanjutan masa untuk mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.
Permohonan untuk kebenaran itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Kamaludin Mohd Said.
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla, ketika ditemui, melahirkan rasa terkejutnya, dengan tarikh awal yang ditetapkan sedangkan pihaknya tidak mengemukakan sijil perakuan segera.
"Apabila kami memfailkan, kami memfailkannya secara elektronik dan hari ini kami mendapat jawapan bahawa tarikh telah ditetapkan pada Khamis ini," katanya.
Hari penamaan calon untuk Pilihan Rayau Umum ke-14 adalah pada Sabtu ini manakala tarikh mengundi pula telah ditetapkan pada 9 Mei.
Jumaat lalu, semua keenam belas anggota Umno itu yang diketuai pemimpin Umno cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid memfailkan permohonan semakan kehakiman antara lain untuk membatalkan keputusan ROS yang memberi lanjutan tempoh kepada Umno sehingga 19 April tahun depan untuk mengadakan pemilihan parti.
Sehari kemudian, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semua mereka dipecat serta merta selaras dengan Fasal 20.7 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian.
Susulan pemecatan itu, Haniff berkata, semua 16 anggota Umno berkenaan akan memfailkan prosiding menghina dan mencabar pemecatan mereka.
“Sekarang, apabila 16 orang ini mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Umno ke mahkamah, perlembagaan parti yang sama dicabuli oleh Majlis Tertinggi Umno kini digunakan untuk mewajarkan mereka memecat ahlinya," kata Haniff.
Dalam permohonan semakan kehakiman, semua 16 mereka juga mahu ROS menyiasat aduan bahawa pemilihan parti tidak diadakan mengikut perlembagaan parti dan oleh itu, satu perintah berhubung pembubaran parti itu perlu dikeluarkan.
Mereka menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.
Semua mereka dari 11 cawangan di enam negeri - sebelum ini menulis surat kepada ibu pejabat parti yang mempersoalkan mengapa pemilihan pada peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi tidak diadakan.
Mereka berkata pemilihan cawangan sepatutnya diadakan pada 28 Feb tahun ini manakala pemilihan untuk bahagian dan majlis tertinggi parti sepatutnya diadakan pada 19 April tahun ini.
Ini kerana kali terakhir, cawangan-cawangan Umno mengadakan pemilihan mereka adalah pada 31 Ogos 2013 dan sepatutnya pemilihan baru seharusnya diadakan pada 31 Ogos 2016 tetapi diberikan lanjutan masa 18 bulan oleh ROS.