PRU14 | Delegasi yang diketuai Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin akan berjumpa Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pagi ini untuk berbincang berhubung senarai calon pilihan raya umum (PRU).
Senarai itu tidak diumumkan semalam dan kini PKR hanya mempunyai kurang daripada 24 jam untuk mendapatkan penyelesaian.
Senarai calon itu dijangka diumumkan dalam program Pakatan Harapan (HARAPAN) di stadium Kuala Selangor esok.
Anggota parlimen PKR Hee Loy Sian berkata, ketika mesyuarat kepimpinan negeri dengan Wan Azizah di Segambut pagi ini, presiden PKR itu masih cuba untuk "mengesahkan" beberapa nama.
"Ada beberapa calon baru, Wan Azizah mahu tahu latar belakang mereka," katanya.
Dikatakan, terdapat aduan dari kalangan kumpulan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Wan Azizah membuat keputusan menggugurkan beberapa nama yang dicadangkan PKR Selangor. Azmin merupakan pengerusi PKR Selangor.
Hee, yang merupakan penyandang parlimen Petaling Jaya Selatan berkata Azmin tidak berjumpa Wan Azizah sendiri kerana berada di Pulau Pinang.
Azmin bagaimanapun berkata, beliau akan berjumpa Wan Azizah dalam masa terdekat. Perjumpaan itu dijangka esok.
Ditanya reaksi Wan Azizah berhubung senarai calon yang dicadangkan PKR Selangor, Hee berkata: "Wan Azizah tak cakap okey atau tak okey".
"Wan Azizah akan muktamadkan senarai itu dengan Azmin dalam masa terdekat," tambahnya.
Hee juga menafikan kebimbangan bahawa masa semakin suntuk dengan mendakwa, senarai rasmi calon tidak semestinya diumumkan esok.
"Siapa kata esok ada pengumuman? Cuma anda yang kata," katanya.