Penolakan orang ramai kepada seseorang tokoh tidak boleh dikaitkan dengan Islam sewenang-wenangnya, kata seorang pensyarah universiti yang memiliki kepakaran dalam ilmu hadis.
Menurut Dr Rozaimi Ramle pendirian seseorang kepada Islam tidak boleh disandarkan kepada sokongan mereka dalam undi.
Menasihati kumpulan tertentu supaya tidak membuat kesimpulan "separuh masak" ahli akademik yang bertugas di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, pihak terbabit sebaliknya perlu bermuhasabah sendiri.
"Jangan semudahnya digadaikan nama Islam. Jangan mudah membuat kesimpulan separuh masak siapa yang tidak undi saya maka tidak menyokong Islam, menolak Islam, mati kafir atau susah menjawab soalan kubur.
"Sebaliknya tanya dulu diri (sendiri) mengapa orang tidak mahu menyokong kita?" kata Rozaimi dalam kenyataan dibuat di Facebooknya.
Beliau yang sebelum ini menawarkan diri untuk berdiskusi dengan dua pemimpin terkenal PAS - dan setakat ini belum menjadi kenyataan - kemudian melontarkan beberapa soalan mengenai pentakrifan keislaman seseorang.
"Selalu ponteng parlimen - adakah mencerminkan amalan Islam? Cakap berdolak-dalik - adakah mencerminkan akhlak Islam? Selalu ponteng mesyuarat setelah dilantik memegang jawatan pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan, atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung - adakah mencerminkan budaya Islam?" katanya lagi.
Baca Lepas sangkal Hadi, pakar hadis diserang label 'anjing'
Tidak cukup dengan itu Rozaimi juga bertanya sama ada amalam mencaci-maki pihak yang bertentangan pendirian juga boleh dianggap mencerminkan sikap Islam.
"Maka apabila semua soalan ini dijawab dengan jujur, mungkin kita akan sedar sebenarnya kita pun belum sepenuhnya menunjukkan integriti Islam.
"Maka mereka menolak kita, bukan semestinya menolak Islam," katanya.
Bagaimanapun melalui status berkenaan Rozaimi tidak merujuk kepada mana-mana parti secara khusus.