Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Pengecut’ naikkan bendera ‘campuran’ HARAPAN - wakil rakyat
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 3:00 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

PRU14 l Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berang dengan tindakan pihak yang tidak dikenali menaikkan bendera ‘campuran’ antara kacukan PKR dan DAP di lokasi tertentu sekitar Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata tindakan menaikkan bendera PKR-DAP itu adalah cubaan sabotaj dan bukan oleh gabungan parti pembangkang berkenaan.
 

"Bukan kami naikkan bendera ini. Ini adalah perbuatan sabotaj oleh pengecut," tulis Lim di Facebook.

Beliau berkata ini tindakan berkenaan mungkin susulan bantahan DAP terhadap pemasangan bendera BN sebelum hari penamaan calon, yang menyaksikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa menanggalkannya.

"Sekarang, BN balas dendam. Kita akan tanggalkan bendera itu," katanya.

Lim, ketika dihubungi Malaysiakini semalam mengenai pemasangan bendera parti sebelum hari penamaan calon, berkata tanpa mengira sama ada parti BN atau HARAPAN, undang-undang pilihan raya mengenai pemasangan bendera parti harus dipatuhi.

Seksyen 24B (4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan bahawa bahan kempen hanya boleh dipamerkan semasa tempoh berkempen, yang bermula selepas hari penamaan calon dan berakhir pada hari mengundi iaitu Rabu, 9 Mei.

Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang kemunculan bendera parti-parti politik ibarat “cendawan yang tumbuh selepas hujan” menghiasi landskap negara sebaik sahaja pengumuman Parlimen dibubarkan.

Isu ini juga menjadi tumpuan apabila beberapa penduduk di Kuala Lumpur yang menanggalkan bendera BN ditahan oleh polis minggu ini.

Sementara itu, penyandang ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata bendera PKR dan DAP yang dijahit bersama, bukan milik mereka.

"Ada yang rmain kotor. Bukan kami yang menghasilkan bendera seperti ini, dan kami tidak menaikkannya di Segambut," katanya di Facebook.

Pada PRU14 kali ini, DAP bersetuju untuk tidak menggunakan logo 'roket' dan sejajar dengan perjanjian HARAPAN, akan menggunakan logo PKR untuk bertanding menentang BN.

Langkah itu susulan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang tidak meluluskan pendaftaran HARAPAN selepas mengarahkan perintah pembubaran sementara ke atas BERSATU, dua minggu lalu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS