PRU14 | Teka-teki siapakah tokoh "bertenaga" dan kuat yang dijanjikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menentang Tun Dr Mahathir Mohamad serta calon BN di Langkawi pada PRU ke-14 ini masih belum terjawab.
Diberitakan PAS memberi kerusi itu kepada parti komponen mereka dalam Gagasan Sejahtera, setakat ini wakil Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) mengesahkan bukan mereka yang akan turun ke gelanggang.
Presiden IKATAN Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata pendirian mereka sudah dimaklumkan semasa mesyuarat Gagasan Sejahtera sebelum ini.
Katanya IKATAN tidak dapat meletakkan calon di Langkawi kerana tidak bersedia berbuat demikian.
“Saya tak tahu kenapa kepimpinan PAS di Kuala Lumpur tak maklumkan hal ini kepada PAS Kedah.
"Kami bukan tak ada calon (di Langkawi), tapi kami memang tak nak bertanding, kita dah buat keputusan lama dah," katanya kepada Malaysiakini.
Bekas menteri kanan dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu menambah, IKATAN ditawarkan kerusi Langkawi semasa mesyuarat pimpinan tertinggi Gagasan Sejahtera.
Katanya, pendirian IKATAN untuk tidak bertanding di Langkawi sudah dimaklumkan pada minggu lalu
"Keputusan itu muktamad,” katanya.
Langkah meletakkan calon yang diyakini dapat mencabar Dr Mahathir di Langkawi diumum sendiri oleh presiden PAS semasa menghadiri majlis merasmikan sebatang titi di Pulau Pinang pada 16 April lalu.
"Tapi bila dia (Dr Mahathir) bertanding, kita kena lawanlah, ta boleh bagi Dr Mahathir menang, kita tak mau BN menang.
"Calon kita (Gagasan Sejahtera) calon yang bertenanga, yang kuat," katanya.
Cabar PKR di Selayang
Semasa PAS Kedah mengumumkan nama-nama calon mereka malam tadi, tokoh yang akan bertanding di kerusi Langkawi itu satu-satunya tidak dinyatakan.
Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata kerusi bagi Langkawi bakal diserahkan kepada IKATAN.
Dr Mahathir kemungkinan besar akan berdepan penyandang BN, Datuk Nawawi Ahmad yang menang dengan kelebihan 11,861 undi pada 2013.
Kedah mempunyai 15 kerusi parlimen dan 36 dewan undangan negeri. Ketika BN yakin dapat mempertahankan negeri itu, Pakatan Harapan dan PAS sama-sama percaya mereka boleh mengubah keadaan berkenaan.
Sementara itu Abdul Kadir turut mengesahkan IKATAN akan bertanding di parlimen Selayang dan dua DUN lain di Selangor.
Katanya pengumuman mengenai calon mereka akan dibuat dalam program Gagasan Sejahtera hujung minggu ini.
Dalam pada itu, Abdul Kadir turut mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding pada PRU ini.
“Saya dah isytihar setahun lebih bahawa saya tak bertanding di mana-mana.
"Semua orang tahu saya (sebab saya) isytihar di depan orang ramai,” katanya.