Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fatmi persoal MPKB sita nama projek PPR Tan sri Fatmi
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 5:17 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Ketua Umno Kota Bharu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menyita nama baharu yang diberikan kepada Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu.

Mohamad Fatmi berkata tindakan MPKB yang menyita nama Projek Perumahan Rakyat Tan Sri Fatmi yang diluluskan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu jelas satu tindakan bermotifkan politik ekoran pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei nanti.

Menurutnya, anggota pihak berkuasa tempatan itu bertindak menyita nama itu yang dibuat oleh kontraktor semalam tanpa apa-apa notis walaupun mengetahui ia mendapat kelulusan daripada KPKT.

"Tindakan seperti ini amat dikesali namun persoalannya kenapa dilakukan serta merta dan tergesa-gesa menyita dan memberhentikan kerja pembinaan papan tanda ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan PPR itu di Wakaf Mek Zainab di Kota Bahru hari ini.

Menurut Mohamad Fatmi, PPR berharga RM190 juta dengan 1,000 unit rumah itu hampir siap pembinaannya dan adalah projek kerajaan Persekutuan untuk rakyat memiliki rumah dalam kawasan bandar.

"Mengikut harga pasaran satu unit rumah berharga RM190,000 bagaimana pun rumah PPR ini hanya dijual pada harga RM35,000 seunit dan kerajaan memberi subsidi sebanyak RM155,000,”katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan mempunyai rancangan untuk membangunkan lebih banyak projek seumpamanya namun sikap kerajaan negeri sedemikian mungkin menyebabkan banyak lagi projek untuk rakyat bakal terbantut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pertukaran nama PPR itu tidak mendapat kelulusan daripada MPKB dan nama yang diluluskan setakat ini ialah Projek Perumahan Rakyat Kota Bharu.

"Walaupun kelulusan nama sudah mendapat kebenaran daripada KPKT namun sebarang perubahan mesti dibuat permohonan kepada MPKB untuk diluluskan atau tidak,”katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS