PRU14 | Bekas Ketua pembangkang bersama isteri pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tun Dr Siti Hasmah merayu agar golongan wanita dapat keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
Dalam kenyataan bersama yang diedarkan kepada media dan kemudian dibaca Wan Azizah, beliau menggesa golongan wanita yang sayangkan keluarga agar keluar mengundi demi masa depan negara.
"Kami menggesa semua ibu-ibu yang bukan sahaja sayangkan keluarga mereka tetapi juga sayangkan masa depan negara ini untuk keluar mengundi pada 9 Mei nanti.
"Pilihlah yang terbaik untuk masa depan diri kita, keluarga kita, negara kita," kata Wan Azizah pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Turut hadir sidang media itu ialah Naib Presiden PKR Tian Chua serta Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin.
Sementara itu, pada sidang media sama, Siti Hasmah turut berkongsi mengenai penjagaan suaminya sepanjang tempoh untuk berkempen menjelang pilihan raya nanti.
Menurut isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, apa yang penting bagi dirinya dan suami ialah mendapat rehat yang cukup.
"Saya perlu memastikan program Tun itu tidak terlalu banyak sangat dan apa yang penting ahli politik perlu rehat secukupnya sebelum program pada keesokan hari.
"Kita juga perlu makan, bila lepas ceramah akan ada banyak makanan orang dah masak tapi kena pastikan jangan terlebih makan.
"Penting untuk pastikan mendapat rehat mencukupi terutamanya selepas waktu tengah hari, pejam mata 40 minit pun OK untuk dapatkan kesegaran.
"Kami bukan muda lagi jadi kami juga perlu memilih untuk hadiri program," ujar Siti Hasmah yang kini berusia 92 tahun.