Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas pengarah biro pilihan raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Jaafar Samsudin hari ini kembali menyertai parti itu selepas dua hari meninggalkannya.

Penyertaan beliau kembali kepada parti itu dibuat selepas pertemuan dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu di Shah Alam, awal pagi tadi.

“Insya-Allah saya akan menghantar surat permohonan kembali ke dalam AMANAH selewat-lewatnya hari ini,” katanya.

Pada 18 April lalu, Jaafar meletakkan jawatannya selepas Mohamad diura-urakan akan bertanding di Kota Raja, bahagian yang dipimpinnya.

Jaafar mendakwa anggota akar umbi AMANAH mahukan calon tempatan dan Mohamad sepatutnya bertemu beliau terlebih dahulu jika mahu bertanding di situ.

Terdahulu sekitar jam 10.30 pagi tadi Jaafar hadir ke sebuah hotel di Shah Alam bagi mengatakan pertemuan dengan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Pertemuan tersebut diadakan secara santai di mana Mat Sabu dilihat bersarapan bersama Jaafar sambil berbual panjang.

'Kalau semua puas hati peliklah'

Sementara itu, Mat Sabu yang ditemui pemberita menyifatkan tindakan Jaafar keluar parti sebelum ini adalah perkara biasa dalam dunia politik.

“Bagi saya rasa tak puas hati tentang perjalanan kerajaan, majlis itu perkara biasa, yang perlu diutarakan setiap masa.

“Kalau semua kita puas hati peliklah, mesti ada perkara yang tidak sempurna dan ini teguran Cikgu Jaafar yang perlu diambil perhatian lebih sebab Selangor ini banyak peruntukan cumanya penyelarasan kawasan tumpuan itu yang perlu diutamakan.

“Tapi ini tindakan normal dalam politik, saya ini dah lebih 40 tahun (dalam politik) jadi tindakan itu biasa bagi manusia yang dia bekerja dan bukan duduk saja,” katanya.

Malah Mat Sabu juga berkata apa yang kepada partinya hari ini juga pernah berlaku kepada Umno sebelum ini.

“Bagi saya ini kritikan biasa, bukan satu perkara yang mengkhianati parti ke tak ada.

“Dalam Umno dulu (Tun) Musa Hitam letak jawatan kemudian kembali dan banyak lagilah dalam sejarah politik yang kita lihat tindakan biasa melainkan kalau dia bawa lari RM5 kita duit AMANAH, itu lain,” katanya.

Jaafar menyertai PAS pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihan raya PAS Selangor dari 2002 hingga 2015.

Beliau kemudian meninggalkan PAS pada 2016 untuk menyertai AMANAH.

Sebelum itu, Jaafar pernah menjadi ahli Umno dan Semangat 46 serta pernah bekerja bawah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Harun Idris.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS