Pemimpin kanan PAS Dr Zuhdi Marzuki menyelar seorang penonton yang bertanya soalan berkaitan kritikan presiden parti itu terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tidak menjawab secara langsung soalan itu, anggota jawatankuasa pusat PAS itu sebaliknya berkata “pak cik” tersebut tertutup minda dan “minda berkarat” kerana membaca Malaysiakini.
“OK, terima kasih kepada pak cik-pak cik yang bertanya, yang mindanya sudah tertutup. Bahan bacaan dia Malaysiakini.
“Dan sebab itu saya percaya mereka datang ini bukan dengan minda terbuka tak perlu jelas dah. Minda dia sudah berkarat dengan sokongan terhadap pihak-pihak tertentu,” katanya.
Zuhdi berkata demikian dalam forum membincangkan manifesto pilihan raya dan sokongan pengundi di Sinar Harian, Shah Alam.
Dalam sesi soal jawab ,lelaki itu membangkitkan tindakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyindir Mahathir supaya berkhidmat di Klinik 1Malaysia.
Katanya, beliau malu dengan apa yang berlaku kerana PAS yang beliau tahu “mendidik orang”.
“Saya tak fikir seorang presiden PAS boleh cakap macam itu,” katanya.
Hadi pada 16 April berkata Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei depan.
Sementara itu, dalam reaksi balasnya, Zuhdi turut berkata jika soalan itu diajukan dengan minda terbuka, beliau sedia menjawabnya bila-bila masa saja.
“Kalau kita datang dengan minda terbuka, anytime (bila-bila masa saja). Kalau pak cik lepas ini nak naik atas (pentas) berdebat pun saya sanggup. Saya duduk Shah Alam. Jadi begini, saya nampak kita sudah disemai dengan politik benci.
“Dalam nak bincang manifesto ini pun kita masih bincang tentang kebencian politik. Bila sudah ada hatred politik sebut apa pun kita tak akan terima. Itu contoh yang begitu buruk yang ditunjukkan oleh pakcik walaupun pakcik sudah usia emas.
“(Pak Cik) menunjuk contoh buruk kepada anak-anak muda, saya rasa bukan satu perkara yang baik.
“Jadi sekarang ini saya nampak bila kita sudah tertutup minda kita tak akan pergi ke mana-mana. Kita tunggu (hari mengundi) 9 hari bulan nanti, siapa yang menang kita beri mandat,” katanya.