Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Pakatan Harapan (HARAPAN) komited untuk menurunkan harga barang dan mengurangkan kos sara hidup rakyat - agenda yang dalam manifesto HARAPAN, dan menjadi salah satu daripada lima teras utama apabila HARAPAN bergelar kerajaan selepas PRU14.

Ternyata, jaminan Menteri KPDNKK (Sementara), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa harga lima barang asas (gula, beras, minyak masak, tepung, dan gas masak) tidak akan dinaikkan jauh meleset.

Bagaimanakah BN akan melaksanakan janji ini, sedangkan dalam tempoh 5 tahun sebelum ini pun, mekanisme pengawalan harga amat longgar dan harga beratus barang telah naik secara mendadak?

  • Harga ikan kembung pada asalnya dijual RM 12 hingga RM 14 sekilogram kini naik kepada RM 18 sekilogram, yakni mencatatkan kenaikan harga ikan kembung paling mahal pada Januari 2018. Perkara ini berpunca daripada kegagalan pembekal yang kekurangan bekalan ikan sehingga menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan.
  • Ini termasuk harga udang dan sayur yang meningkat hampir 40 peratus pada bulan Januari 2018. Kadar inflasi berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) 1.3 peratus pada Mac 2018 kepada 120.9 berbanding 119.4 pada bulan yang sama tahun lepas. Peningkatan ini didorong oleh makanan laut (+4.6 peratus), buah-buahan (+2.0 peratus), dan susu serta telur (+1.6 peratus).
  • Kadar inflasi antara bulan Januari hingga Mac 2018 meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017. Justeru, ini memperlihatkan keadaan kesusahan rakyat yang terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang, cukai GST, dan jumlah pendapatan yang tidak mencukupi dibawah regim BN walaupun disaat menghampiri PRU 14.

Pengenalan cukai regresif GST, pemotongan subsidi minyak dan keperluan asas yang menjangkau RM 20 billion serta kegagalan kerajaan mengawal pengaruh orang tengah dan harga barang memaparkan betapa teruknya rakyat dipinggirkan.

Ingin saya tanyakan juga, kenapa semua barangan tidak dijual dengan harga mampu beli sewaktu BN memerintah? Situasi ini perlu diterangkan, lebih-lebih lagi apabila program anjuran BN seperti Jualan Sentuhan Rakyat boleh menjual barangan asas dengan harga teramat murah sempena kempen PRU14.

Saya merasai kejelikan rakyat terhadap pimpinan BN, yang kerap kali mempersendakan dan menafikan keluhan rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang.

Menghampiri PRU14, sekali lagi janji manis ditabur BN untuk mengaburi kesusahan rakyat selama 5 tahun di bawah pentadbiran kerajaan BN terdahulu. Menteri yang diberikan kuasa gagal mengawal dan menurunkan harga barang supaya rakyat menikmati kehidupan harian yang lebih selesa.

HARAPAN bertekad mengurangkan harga barang dengan menghapuskan GST dan monopoli ke atas barang keperluan, menstabilkan harga barang keperluan asas, dan memastikan bekalan barang-barang keperluan mencukupi untuk rakyat khususnya sewaktu perayaan.

HARAPAN juga mahu mengekalkan kualiti barangan yang ada di tahap yang terbaik dengan menggalakan persaingan yang sihat antara pembekal.

Saya meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap hasrat HARAPAN yang ikhlas hendak membantu rakyat. Denyut nadi rakyat mesti terbela selepas HARAPAN dan rakyat merampas Putrajaya daripada BN pada PRU14.


NURUL IZZAH ANWAR adalah naib presiden dan pengarah pilihan raya bersama PKR.

Artikel ini adalah pendapat atau pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS