Seorang tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma yang meninggal dunia selepas ditemui pengsan di Lokap Berpusat Shah Alam pada malam Selasa (17 April), mempunyai sejarah demam, sakit perut, cirit-birit dan kurang selera makan sejak empat hari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada malam kejadian, lelaki berumur 38 tahun itu yang ditahan di lokap berkenaan sejak 29 Mac lepas, tiba-tiba tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam (HSAS).
“Semasa pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan HSAS, beliau didapati telah meninggal dunia. Sebab kematian belum diketahui, sedang menunggu hasil laporan bedah siasat yang dilakukan di HSAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, semasa siasatan dijalankan, pihaknya mendapati terdapat juga 10 kes lain di lokap berpusat berkenaan yang mengadu tidak sihat dengan pelbagai gejala, iaitu sembilan kes gejala ringan seperti batuk dan selsema, manakala satu kes mempunyai gejala sakit perut dan cirit-birit.
Beliau berkata sebanyak tujuh kes telah diberikan rawatan semasa di lokap berpusat berkenaan oleh pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), manakala tiga kes telah dirujuk ke Jabatan Kecemasan HSAS untuk rawatan dan seterusnya dibenarkan pulang.
Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sedang giat menjalankan aktiviti pencegahan serta kawalan di lokap berpusat berkenaan, antaranya melakukan aktiviti penyahjangkitan (disinfection) melibatkan kawasan persekitaran sel dan lokap.
Selain itu, katanya aktiviti pencegahan dan kawalan turut melibatkan pengasingan di antara kes-kes yang bergejala daripada orang sihat sehingga kesemua mereka sembuh dan pemantauan kesihatan harian terhadap anggota kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam serta orang yang ditahan.
“Sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Selain itu, aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan amalan pencegahan dan kawalan jangkitan dalam kalangan anggota kerja IPD Shah Alam serta orang yang ditahan turut diperkukuhkan.
“Pemeriksaan kebersihan persekitaran di IPD telah dijalankan termasuk kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan,” katanya menambah pemeriksaan ini masih terus dijalankan.
Menurut Dr Noor Hisham lagi, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan situasi di dalam lokap adalah bersih dan terkawal, namun Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kejadian itu serta akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.
- Bernama