Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga lagi ditahan kerana turunkan bendera BN di KL
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 4:35 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

PRU14 l Tiga wanita ditahan polis hari ini kerana disyaki telah memotong dan mencabut bendera serta kain rentang Barisan Nasional (BN) di tepi Jalan Leong Yew Koh di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mereka bertindak demikian atas alasan pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal menurunkan bendera itu yang dipasang sebelum hari penamaan calon.

Pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Zon TTDI menahan ketiga-tiga mereka untuk membantu siasatan ketika membawa bendera itu untuk diserahkan ke Balai Polis TDDI dan 133 kain rentang BN pelbagai saiz yang ditemukan dalam dua beg plastik dalam kereta dinaiki mereka juga dirampas.

“Polis turut merampas gunting, playar, pemotong wayar, sebotol ubat nyamuk, lampu suluh dan plastik sampah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketiga-tiga wanita berkenaan merupakan penduduk kawasan TTDI dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, katanya.

“Mereka bertindak atas dasar prihatin sebagai penduduk di kawasan berkenaan dan mendakwa aduan yang dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan pemasangan bendera parti sebelum 28 April tidak diambil sebarang tindakan.

Beliau berkata dua daripada suspek masing-masing berusia 31 tahun manakala seorang lagi berusia 37 tahun.

“Perbuatan yang dilakukan adalah atas sikap sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya.

Mazlan berkata kes masih disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Beliau juga meminta orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dalam perkara sedemikian.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan dibawa ke pusat tahanan bersepadu di Jinjang semalam dan dijangka direman untuk siasatan lanjut, katanya.

Ini adalah penangkapan kedua minggu ini, selepas polis menahan seorang lelaki tiga hari lalu kerana mencabut bendera BN di Taman Tun Dr Ismail.

Lelaki itu dirakamkan mencabut dan mencampakkan beberapa batang bendera BN di sepanjang jalan. Video itu kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Dalam video berkenaan, lelaki itu juga menunjukkan jari tengah kepada individu yang merakamkan gelagatnya.

Mazlan sebelum ini berkata menaikkan bendera parti politik sebelum tempoh kempen pilihan raya ke-14 - yang bermula pada hari penamaan calon, 28 April, dan berakhir pada hari mengundi, 9 Mei - terletak di bawah bidang kuasa majlis-majlis tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS